Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘babi

Benarkah babi haram?

with 95 comments

Babi bukan sahaja tidak boleh dimakan dan tidak boleh disentuh malah kepada orang Melayu perkataan babi itu sendiri pun sudah cukup kotor dan kalau boleh mereka mahu mengelak dari menggunakannya. Tapi benarkah babi benar-benar haram dimakan? Saya ada pendapat sendiri kerana saya tidak menemui bukti yang konklusif mengenai pengharaman babi di dalam Al-Quran. Mari kita mulakan pemeriksaan ini dengan kembali kepada ayat 5:1.

5:1 “Wahai orang yang percaya! Tunaikanlah perjanjianmu. Dibenarkan (makan) ke atas kamu semua haiwan (darat) kecuali yang dimaklumkan kepada kamu; Jangan benarkan pemburuan bila kamu berada dalam tempoh larangan; sesungguhnya Allah memerintahkan apa yang dikehendakiNya”.

Kalau kita perhatikan, Tuhan kata kita dibenarkan makan semua haiwan darat kecuali yang telah dimaklumkan kepada kita. Jadi mari kita tengok haiwan apa yang Tuhan maklumkan kepada kita tidak boleh dimakan. Senarainya ada di dalam ayat 5:3.

5:3 Ditegah ke atas kamu bangkai, darah, daging yang membusuk, dan yang mana nama selain Tuhan telah disebut. Yang telah dicekik sehingga mati, yang dipukul sehingga mati, yang mati akibat jatuh dari tempat tinggi, yang ditanduk sehingga mati, yang telah dimakan sebahagiannya oleh haiwan lain kecuali kamu selamatkan semasa ia masih hidup, yang dikorbankan kepada berhala, yang dibahagikan melalui anak panah nasib. Semua ini menjijikan….”.

Dari ayat 5:3, Tuhan maklumkan dengan jelas haiwan darat atau apa-apa bahagian darinya, yang kita dilarang makan adalah;

  • Bangkai (haiwan yang mati dengan sendiri atau yang mati dengan cara yang dimaklumkan dalam ayat 5:3)
  • Darah
  • Daging yang sudah membusuk (walaupun dari sumber yang elok)
  • Apa-apa yang disebut ke atasnya nama selain dari Tuhan

Senarai makanan yang dilarang ini diulang sekali lagi dalam ayat 6:145:

6:145 “Katakan: Aku tidak menemui di dalam yang telah diwahyukan kepadaku sebarang larangan kepada seorang pemakan untuk makan kecuali apa yang mati dengan sendirinya, atau darah yang mengalir, atau daging yang membusuk – kerana sesungguhnya ia kotor – atau yang melanggar sempadan di mana selain Tuhan telah diucapkan ke atasnya, tetapi bagi sesiapa yang terpaksa, bukan hendak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pemaaf dan Mengasihani”.

Para pembaca budiman tentu hairan mengapa tidak ada daging babi dalam terjemahan atau tafsiran saya. Alasan saya mudah saja. Jika saya setuju dengan penetapan bahawa daging babi haram, maka saya akan berhadapan dengan percanggahan dalam wahyu Tuhan. Sedangkan Tuhan kata dalam 4:82

4:82  “Mengapa mereka tidak merenung ke atas Al-Quran? Kalaulah ia datang dari selain Tuhan, mereka tentu akan menemui di dalamnya percanggahan yang banyak”.

Mengharamkan babi bermakna ia bercanggah dengan ayat 5:1 di mana Tuhan kata kita boleh makan semua haiwan. Jika kita teliti ayat 5:3, iaitu berkenaan haiwan yang tidak boleh dimakan, kita akan dapati Tuhan tidak menyebut jenis atau nama haiwan secara spesifik tetapi ia hanya merujuk kepada cara kematian haiwan sahaja.

Atas sebab itu, saya berpendapat senarai cara kematian haiwan yang tidak boleh dimakan itu sebenarnya bersifat penjelas kepada apa yang dimaksudkan sebagai bangkai. Dan bahagian ayat yang dikatakan pengharaman ke atas babi tidak termasuk dalam kategori haiwan, tetapi daging. Daging hanyalah merujuk bahagian dari binatang sepertimana juga darah yang termasuk dalam senarai berkenaan.

5:3 Ditegah ke atas kamu bangkai, darah, daging yang sudah membusuk, dan yang mana nama selain Tuhan telah disebut. Yang telah dicekik sehingga mati, yang dipukul sehingga mati, yang mati akibat jatuh dari tempat tinggi, yang ditanduk sehingga mati, yang telah dimakan sebahagiannya oleh haiwan lain kecuali kamu selamatkan semasa ia masih hidup, yang dikorbankan kepada berhala, yang dibahagikan melalui anak panah nasib. Semua ini menjijikan….”.

Bukti kepada kepada hujah saya adalah ayat 6:145 di mana dalam ayat itu Tuhan hanya menyebut haiwan yang mati dengan sendiri (iaitu bangkai dan ini tentulah termasuk dengan yang mati dengan cara yang ganas atau dahsyat seperti yang dijelaskan dalam ayat 5:3), darah, daging yang sudah membusuk dan apa-apa yang telah disediakan atas nama selain dari Tuhan.

6:145  Katakan: Aku tidak menemui di dalam yang telah diwahyukan kepadaku sebarang larangan kepada seorang pemakan untuk makan kecuali apa yang mati dengan sendirinya, atau darah yang mengalir, atau daging yang membusuk – kerana sesungguhnya ia kotor – atau yang melampaui batas di mana selain Tuhan telah diucapkan ke atasnya, tetapi bagi sesiapa yang terpaksa, bukan hendak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pemaaf dan Mengasihani.

Para pembaca budiman boleh menunjukkan kepada saya perkataan khinzir diterima secara global bahawa ia bermaksud babi. Saya tidak menafikan hakikat itu. Tetapi bagi perkataan yang sama di dalam Al-Quran, saya berpendapat ia tidak membawa maksud sedemikian. Penyelewengan berlaku dalam tafsiran ayat-ayat Al-Quran dan bagi saya penyelewengan tafsiran perkataan khinzir dalam ayat-ayat yang kita bincangkan di atas hanyalah salah satu darinya. Ia bukan luarbiasa.

Untuk mendapatkan lebih petunjuk kepada penyelewengan berkaitan pengharaman babi kita harus melihat dari perspektif yang lebih luas. Kita sedia maklum bahawa selain dari umat Islam, orang Yahudi juga mengharamkan babi dalam kepercayaan mereka.  Dari firasat saya, saya amat yakin persamaan berkenaan pengharaman babi di antara orang Islam dan orang Yahudi ini sebenarnya boleh menjadi “the smoking gun”  untuk menimbulkan keraguan yang munasabah mengenai kesahihannya.

Tuhan kata kita boleh makan semua haiwan darat. Asalkan ia menepati syarat-syaratnya jika haiwan itu dari jenis yang perlu diburu. Jika haiwan domestik atau haiwan yang diternak, kita boleh makan asalkan ia tidak disebut atas nama lain selain Tuhan atau pun bahagian-bahagian lain yang telah diharamkan seperti darah dan daging yang sudah mula buruk atau mereput atau membusuk. Selain itu, semua bangkai turut tidak boleh dimakan.

6:145  Katakan: Aku tidak menemui di dalam yang telah diwahyukan kepadaku sebarang larangan kepada seorang pemakan untuk makan kecuali apa yang mati dengan sendirinya, atau darah yang mengalir, atau daging yang membusuk – kerana sesungguhnya ia kotor – atau yang melampaui batas di mana selain Tuhan telah diucapkan ke atasnya, tetapi bagi sesiapa yang terpaksa, bukan hendak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pemaaf dan Mengasihani.

Kemudian seperti menyuluh jalan, Tuhan menyebut dengan terperinci dalam ayat seterusnya, iaitu ayat 6:146 apa yang telah diharamkan ke atas orang Yahudi. Perincian mengenai apa yang Tuhan telah haramkan ke atas orang Yahudi di dalam Al-Quran tentulah mempunyai signifikasi khusus kepada kita. Suatu petunjuk. Oleh itu, jangan buang masa, mari kita lihat apa yang sebenarnya telah diharamkan oleh Tuhan ke atas orang Yahudi.

6:146  Dan kepada orang Yahudi, Kami telah haramkan semua haiwan yang berkuku cakar, dan dari lembu dan biri-biri Kami telah haramkan kepada mereka lemak dari kedua-duanya, kecuali yang datang dari bahagian belakang atau organ dalaman atau apa-apa yang telah bercampur dengan tulang; ini adalah hukuman di atas keingkaran mereka dan Kami sesungguhnya Yang Benar.

Dalam ayat di atas apa yang telah diharamkan ke atas orang Yahudi dipaparkan dengan jelas dan terang. Turut dijelaskan adalah sebab musabab kepada pengharaman berkenaan. Ia bukanlah kerana apa yang diharamkan itu tidak elok dimakan, tetapi SEBAGAI HUKUMAN Tuhan KHUSUS di atas keingkaran orang Yahudi. Mari kita senaraikan semula satu persatu apa yang telah diharamkan ke atas orang Yahudi sebagai hukuman khusus ke atas mereka.

  • Semua haiwan yang berkuku cakar
  • Lemak lembu dan biri-biri kecuali yang diperolehi dari bahagian belakang atau organ dalaman atau apa-apa yang bercampur dengan tulang

Dan babi tidak termasuk dalam senarai itu. Tetapi Yahudi menyenaraikan babi sebagai haiwan yang haram mereka makan. Dan tiba-tiba kita juga mempunyai haiwan berkuku cakar dan babi dalam senarai haiwan yang kita tidak boleh makan.

Soalan saya, adakah situasi ini tidak cukup menimbulkan keraguan yang munasabah? Adakah kita nak percaya Tuhan atau nak percaya orang Yahudi? Mari kita lihat apa yang Tuhan pesan kepada kita tentang orang Yahudi dalam perkara ini melalui ayat seterusnya iaitu 6:147.

6:147  “Tetapi jika mereka menipu kamu, katakan: Tuhan kamu Meliputi segala-galanya, dan hukumanNya tidak boleh dielak dari mereka yang bersalah?”

Masih tidak cukup jelas? Haruskah kita memberi ruang kepada Yahudi untuk menipu kita? Dan sebagai akibatnya mahukah kita termasuk dalam golongan yang disebut oleh Tuhan dalam ayat seterusnya?

6:148  “Mereka yang percaya kepada banyak Tuhan akan berkata: Jika itu yang Tuhan mahukan tentulah kami tidak akan mempersekutukan, tidak juga orang-orang tua kami, tentulah kami tidak mengharamkan apa-apa pun. Begitulah juga orang-orang sebelum mereka berbohong sehingga mereka merasakan sendiri hukuman Kami. Katakan: Adakah kamu mempunyai bukti bersama kamu supaya kamu boleh menunjukkan kepada kami? Kamu hanya menuruti khayalan dan kamu hanya menyampaikan pembohongan”.

6:149  “Katakan: Maka hujah Tuhanlah yang paling kukuh, jika Dia mengingininya, Dia tentu akan memberi petunjuk kepada kamu semua”.

6:150  “Katakan: Bawalah saksi-saksi yang sanggup mempersaksikan bahawa Allah telah mengharamkan ini. Kemudian jika mereka mengaku sebagai saksi, jangan bersaksi bersama mereka dan jangan turuti nafsu mereka yang menolak wahyu-wahyu Kami dan mereka yang tidak percaya kepada akhirat dan mereka menjadikan orang lain setaraf dengan Tuhan”.

Mari kita sama-sama renungkan.

6:142 “Dan binatang yang perlu diburu dan yang jinak (dipelihara), makanlah apa yang telah Tuhan berikan kepada kamu dan jangan menurut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya ia musuh yang jelas”.

Written by tolokminda

January 26, 2010 at 5:04 pm

Posted in Makanan

Tagged with , ,