Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘arak

Arak: Benarkah haram?

with 56 comments

Bayangkan Encik Ali Baba mabuk selepas minum arak di sebuah bar di Jalan Sultan Ismail bersama beberapa rakannya. Akibat melalui saat seronok yang tak terhingga, dia pun berkata kepada semua kawannya bahawa dia mahu menjual rumahnya dengan harga RM5. Seorang dari kawannya itu kemudian mengeluarkan note RM5 dan bersetuju untuk membelinya.  Apa yang berlaku selepas itu? Hanya Tuhan yang tahu.

Pada pendapat saya, keadaan seperti inilah yang sebenarnya Tuhan mahu kita elakkan dari ayat berikut:

4:43  “Wahai kamu yang percaya! Jangan mendekati komitmen apabila kamu mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu katakan..”

Sudah tentu apabila kita mabuk kita mungkin tidak tahu apa yang kita katakan. Jadi jangan buat apa-apa komitmen kepada sesiapa pun apabila kita berada dalam keadaan mabuk. Akibatnya ia mungkin akan menimbulkan pelbagai masalah kepada kita di kemudian hari.

Okay. Selain mabuk, apa lagi keadaan yang Tuhan tidak benarkan kita melakukan komitmen? Ia terkandung dalam sambungan ayat 4:43.

4:43  “… dan jangan juga apabila kamu dalam keadaan perlukan mandi (kotor) – kecuali kamu sedang dalam perjalanan – sehinggalah kamu membersihkan diri kamu; dan jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau kamu membuang air atau kamu telah bersama dengan perempuan dan kamu tidak menemui air, ambillah tanah yang bersih kemudian sapukan ke muka kamu dan tangan kamu. Sesungguhnya Tuhan Mengampun dan Memaafkan.

Sudah tentu. Kalau kita membuka kedai dalam keadaan tidak mandi dengan badan berbau busuk atau pergi ke pejabat tanpa membersihkan diri selepas membuang air besar – apa orang akan kata kita? Pengotor? Buruk laku? Tak senonoh? Jadi Tuhan nak kita – sebagai seorang Muslim – mestilah sentiasa menjaga kebersihan diri.

Perbincangan mengenai suruhan membersihkan diri boleh dibaca di sini.

Jadi sebagai kesimpulannya, melalui ayat 4:43 Tuhan menyuruh kita jangan membuat sebarang komitmen dalam keadaan mabuk atau dalam keadaan kotor. Jika kita mabuk, tunggu sampai kita tahu apa yang kita cakap sebelum buat apa-apa komitmen. Kalau kita kotor, bersihkan diri dulu sebelum mulakan apa-apa komitmen.

Mudah dan jelas. Walaupun begitu saya percaya akan ada yang mempersoalkan bukankah minum arak dan mabuk hukumannya sebat sebab arak itu telah diharamkan oleh Tuhan? Baiklah. Tapi masalahnya dalam ayat 4:43 Tuhan tak suruh sebat pun. Dia cuma beritahu kita supaya jangan buat apa-apa komitmen semasa sedang mabuk. Itu saja.

4:43  Wahai kamu yang percaya! Jangan mendekati komitmen apabila kamu mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu katakan, dan jangan juga apabila kamu dalam keadaan perlukan mandi (kotor) – kecuali kamu sedang dalam perjalanan – sehinggalah kamu membersihkan diri kamu; dan jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau kamu membuang air atau kamu telah bersama dengan perempuan dan kamu tidak menemui air, ambillah tanah yang bersih kemudian sapukan ke muka kamu dan tangan kamu. Sesungguhnya Tuhan Mengampun dan Memaafkan.

Jadi untuk mendapatkan kepastian benarkah arak telah diharamkan Tuhan kepada kita, mari kita periksa ayat-ayat yang menyentuh mengenainya di dalam Al-Quran.

2:219  Mereka bertanya kamu tentang arak dan judi. Katakan: Di dalam keduanya terdapat keburukan besar dan cara mendapatkan keuntungan kepada manusia, dan keburukannya adalah lebih besar dari keuntungannya. Dan mereka bertanya kamu sebagaimanakah yang patut untuk dibelanjakan. Katakan: Apa yang terlebih. Maka, adakah Tuhan sudah menjelaskan wahyu-wahyunya supaya kamu renungkan?

Jika kita perhatikan betul-betul, ayat di atas tidak mengandungi sebarang pengharaman ke atas arak. Tuhan cuma ajar kita jika ada orang bertanya mengenai arak, kita perlu menjawab begini:

“Di dalam arak terdapat keburukan besar dan cara mendapatkan keuntungan kepada manusia (entertain client? sedapkan makanan?, dsbnya?), tetapi keburukan yang dibawanya adalah lebih besar dari keuntungannya”.

Dan jika orang itu bertanya lagi berapa banyakkah kita boleh berbelanja ke atasnya, Tuhan suruh kita cakap:

“Dari duit yang dah terlebih saja”. Begitulah lebih kurangnya yang Tuhan telah jelaskan kepada kita sebagai renungan – tetapi tidak ada pengharaman.

Mari kita lihat dua lagi ayat, iaitu 5:90 dan 5:91.

5:90 Wahai kamu yang percaya! Arak dan judi dan berhala dan anak panah adalah kotor, pekerjaan syaitan, maka elakkanlah supaya kamu berjaya.

5:91 Syaitan hanya berkeinginan untuk menyebabkan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi – dan untuk menjauhkan kamu dari mengingati Allah dan dari komitmen. Tidakkah kamu mahu berhenti?

Dalam 5:90 Tuhan memberitahu kita bahawa perkara tentang arak adalah pekerjaan syaitan dan Tuhan suruh kita elakkan kalau mahu menjadi orang yang berjaya. Bagaimana syaitan boleh menyebabkan kita menjadi seorang yang tidak berjaya menerusi arak dijelaskan dalam ayat seterus 5:91.

Tuhan kata syaitan boleh menyebabkan kita bermusuhan dan membenci sesama sendiri (perkara yang biasa kita dengar berlaku di dalam lingkungan penagih arak) dan ia juga akan menyebabkan kita lupa kepada Tuhan dan menyebabkan kita mengabaikan komitmen-komitmen yang sepatutnya kita tunaikan.

Ada pengharaman terhadap arak? Tidak ada. Tapi Tuhan suruh berhenti – ada.

Saya yakin artikel kali ini seperti biasa akan mendatangkan banyak kontroversi. Tetapi kita semua mempunyai naskah Al-Quran masing-masing atau boleh melayarinya di internet. Periksalah sendiri. Dan jika para pembaca budiman menemui kesimpulan yang lain, saya jemput untuk membentangkannya supaya kita dapat sama-sama berpegang kepada kebenaran.

Written by tolokminda

February 18, 2010 at 5:41 pm

Posted in Makanan, Quran

Tagged with , , ,