Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘Allah

Tuhan & sistemNya yang sempurna

with 148 comments

Dalam sebahagian besar dari ayat-ayat Al-Quran, Tuhan menggunakan gantinama “Kami”. Saya berpendapat Tuhan gunakan gantinama “Kami” untuk merujuk kepada Dia dan “sistem”Nya. Dalam konteks sesuatu ayat, sistem Tuhan yang dimaksudkan mungkin boleh ditafsirkan secara khusus. Tetapi pada dasarnya sifat sistem Tuhan – menurut kemampuan akal manusia – adalah tidak terbatas.

Segala-gala yang Tuhan cipta dalam alam ini merupakan sebahagian dari sistem Tuhan. Dan manusia biar segigih manapun berusaha mungkin tidak berpeluang untuk mengetahui semuanya. Walaupun begitu Tuhan menjelaskan sistemNya itu merupakan satu kurniaan kepada seluruh manusia dan kita harus menuruti jejak Ibrahim yang berdedikasi untuk memahaminya.

2:125 “Dan Kami jadikan sistem ini sebagai satu kurniaan kepada manusia dan satu keharmonian – dan kamu harus mengambil teladan legasi-legasi Ibrahim yang komited. Dan kami perintahkan Ibrahim dan Ismail supaya mereka bersihkan sistemKu untuk mereka yang mahu mendekatkan diri dan mereka yang berdedikasi dan mereka merendah diri dan bersetuju”.

Sistem Tuhan adalah sebuah sistem yang sempurna. Ini kerana semua ciptaan Tuhan yang terdapat di dalam sistemNya itu sentiasa akur kepada perintah Tuhan. Baik yang wujud di langit mahupun yang wujud di bumi – yang kelihatan mahupun yang ghaib – semuanya patuh kepada ketetapan-ketetapan yang Tuhan telah restui (masjidillah) ke atas mereka. Itulah komitmen (solaa) mereka terhadap Tuhan.

Malah anggota badan kita sendiri pun sebenarnya merupakan sebahagian dari sistem Tuhan yang tidak pernah gagal berfungsi menurut kehendakNya. Setiap zarah yang membina tubuh badan kita akur kepada ketetapan Tuhan pada setiap masa di mana sahaja. Kita tidak sekali-kali dapat menghalang tubuh badan kita dari kepatuhannya kepada Tuhan kecuali kita akan merosakkannya.

Tanyalah doktor. Adakah mereka perlu bekerja menurut sistem tubuh pesakit atau tubuh pesakit yang perlu patuh kepada sistem mereka? Saya fikir jawapannya jelas kepada kita semua. Sebab itulah di akhirat nanti anggota badan kita akan turut menjadi saksi bagi pihak Tuhan. Anggota tubuh badan kita sendiri tidak akan menjadi saksi bagi pihak kita.

36:65  Hari ini, Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka akan bercakap kepada Kami, dan kaki mereka akan menjadi saksi kepada apa yang telah mereka lakukan.

Pendek kata, apabila Tuhan menggunakan gantinama “Kami” ia merujuk kepada Tuhan dan seluruh sistemNya yang maha luas lagi sempurna. Dan ia mungkin turut melibatkan anggota tubuh badan kita sendiri.

Oleh itu jika sekarang jantung kita boleh memahami sesuatu – cubalah fahami betul-betul. Kalau mata kita boleh melihat sesuatu – berusahalah lihat betul-betul. Jika telinga kita boleh mendengar sesuatu – dengarlah betul-betul. Jika deria-deria kita boleh membaca Al-Quran – bacalah betul-betul supaya kita beroleh petunjuk.

Kita harus sedar bahawa semua kemampuan yang ada pada setiap anggota tubuh badan kita adalah kerana mereka mematuhi ketetapan-ketetapan yang telah Tuhan restui ke atas mereka. Jika seluruh anggota badan kita sendiri pun sentiasa patuh kepada Tuhan, apakah wajar kita membiarkan jiwa kita berada dalam keingkaran dan kesesatan?

7:179  Dan Kami telah memberikan neraka ramai dari kalangan Jin dan manusia; mereka ada jantung yang dengannya mereka tidak memahami, dan mereka ada mata yang dengannya mereka tidak melihat dan mereka mempunyai telinga yang dengannya mereka tidak mendengar. Mereka seperti binatang ternak, tidak, mereka lebih jauh sesat. Mereka adalah orang-orang yang tidak sedar.

Nota:
Artikel ini merupakan jawapan saya kepada pertanyaan tentang gantinama “Kami” yang Tuhan gunakan di dalam Al-Quran oleh seorang peserta yang menggelar dirinya “Budak Bodoh”.

Written by tolokminda

April 15, 2010 at 12:26 am

Berebut perkataan Tuhan dalam bahasa Arab

with 14 comments

Isu kebenaran mahkamah terhadap penggunaan istilah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan Herald – The Catholic Weekly telah mencetuskan pelbagai polemik, pertikaian, bantahan dan sebagainya. Umat Islam secara umumnya tidak bersetuju atau sekurang-kurangnya tidak suka dengan keputusan mahkamah. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri sudah pun mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Atas kehangatan yang sedang meliputi isu ini, saya merasa terpanggil untuk turut memberikan komen mengenainya. Komen saya, saya tidak nampak keikhlasan kedua-dua pihak, sama ada pihak Herald – The Catholic Weekly yang mewakili masyarakat Kristian Katholik dan pihak umat Islam yang diwakili oleh pelbagai medium yang mereka miliki.

Sebenarnya jika kita dengar kata Tuhan, samada Herald – The Catholic Weekly dan umat Islam tidak perlu menjerumuskan diri ke dalam perbalahan seperti ini. Masing-masing sudah ada kitab masing-masing dan Tuhan telah menetapkan apa patut mereka ikuti. Penganut agama kitab tidak sepatutnya bersaing di antara satu sama lain hanya untuk menggunakan istilah Tuhan dalam bahasa Arab. Tidak ada maknanya!

Mari kita lihat, siapa sebenarnya mereka yang sepatutnya percaya kepada Al-Kitab:

42:13 Dia menetapkan kepadamu cara hidup yang sama yang telah ditetapkan kepada Noh, dan apa yang telah diwahyukan di sini (al-Quran), dan apa yang telah diperintah kepada Ibrahim, Musa dan Isa. Kamu perlu berpegang kepada cara hidup yang satu dan bukan berpecah-belah. Memang sangat sukar kepada penyembah selain Allah untuk menerima apa yang kamu sarankan. Hanya Tuhan yang merapatkan kepada-Nya sesiapa yang dia kehendaki. Dia memberi pedoman kepada sesiapa yang mahu kembali kepada-Nya.

Sebenarnya semua ahli Kitab mendapat Al-Kitab yang memandu mereka kepada satu cara hidup yang sama. Mereka tidak perlu mengadaptasi Kitab lain, apatah lagi jika ianya hanya mengenai istilah Tuhan yang berbeza akibat perbezaan bahasa Al-Kitab mereka.

Kita lihat lagi bukti bahawa Tuhan mahu setiap ahli Kitab berpegang kepada Al-Kitab masing-masing:

5:43 Tetapi mengapa mereka datang kepadamu untuk keputusan, sedangkan mereka mempunyai hukum yang telah ditetapkan kepada mereka, di dalamnya (Al-Kitab mereka) adalah perintah yang jelas, tetapi walaupun selepas itu, mereka tetap berpaling kepadanya. Mereka bukanlah orang-orang yang percaya.

5:44 Dialah yang telah mewahyukan hukum (kepada Musa); di dalamnya mengandungi pedoman dan cahaya. Melaluinya orang-orang Yahudi sepatutnya dihukum, oleh Nabi-Nabi yang patuh dengan keizinan Tuhan, oleh para rabi dan peguam; yang kepada mereka Al-Kitab Tuhan telah diamanahkan, dan mereka turut bersaksi ke atasnya, oleh itu jangan takut kepada manusia, tetapi takutlah kepada Aku, dan jangan jual Pedoman-Pedoman-Ku dengan harga yang murah. Jika sesiapa gagal menghukum dengan apa yang Tuhan telah wahyukan, merekalah orang-orang yang tidak Percaya.

5:45 Kami tetapkan di dalamnya untuk mereka; “Nyawa dengan nyawa, hidung dengan hidung, telingan dengan telinga, gigi dengan gigi, dan kecederaan dengan kecederaan yang sama”. Tetapi jika sesiapa melepaskan haknya melalui belas ihsan, ia adalah penebus kepada dirinya sendiri. Dan jika sesiapa gagal menghukum dengan apa yang telah Tuhan wahyukan, mereka adalah orang-orang yang bersalah.

5:46 Dan menuruti langkah mereka, Kami mengutuskan Isa anak Mariam, mengesahkan Hukum-hukum yang telah datang sebelum dia. Kami utuskan kepadanya Injil, di dalamnya pedoman dan cahaya, dan telah mengesahkan Hukum-hukum yang telah datang sebelum dia” satu pedoman dan peringatan kepada mereka yang takut kepada Tuhan.

5:47 Biarlah mereka yang menerima Injil menghukum dengan apa yang telah Tuhan wahyukan di dalamnya. Jika sesiapa gagal menghukum dengan apa yang telah Tuhan wahyukan, mereka adalah orang-orang yang ingkar.

5:48 Kepada kamu Kami telah utuskan Warkah yang benar (Al-Quran), mengesahkan warkah yang telah diutuskan sebelumnya dan memeliharanya, jadi hukumlah di antara mereka apa yang Tuhan telah wahyukan dan jangan ikut kehendak nafsu mereka, mengalih dari kebenaran yang telah sampai kepadamu. Kepada setiap kamu Kami telah tetapkan satu hukum dan jalan yang terbuka. Jika Tuhan kehendaki, Dia tentulah telah menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia mahu menguji apa yang telah diberikan ke atas kamu, jadi bersungguh-sungguhlah berlumba dalam semua kebaikan-kebaikan berkenaan (apa yang telah diutuskan kepada setiap umat). Matlamat kamu semua adalah kepada Tuhan. Dialah yang akan menunjukkan kamu kebenaran mengenai perkara-perkara yang kamu pertikaikan.

Saya secara peribadi berpendapat Tuhan tidak memiliki nama khas. Allah bukanlah satu nama khas Tuhan. Tetapi ia hanya satu perkataan dalam bahasa Arab yang membawa maksud Tuhan. Tidak masuk akal Tuhan mempunyai satu nama khas seperti manusia. Apakah ada Tuhan lain selain Allah sehingga Dia memerlukan nama khas untuk mengenalpasti antara satu sama lain?  Sudah tentu tidak.  Tuhan tidak perlu satu nama khas.

Tuhan kata semua gelaran yang terbaik adalah milik Dia. Maksudnya segala pujian adalah milik Allah. Dan kita boleh memanggilNya dengan mana-mana gelaran pujian kerana sememangnya itulah yang paling sesuai untuk menyifatkan Tuhan. Jadi panggillah Tuhan dengan gelaran-gelaran pujian yang terbaik dan tidak perlulah kita bergaduh kerana berebut satu istilah bahasa Arab hanya kerana ia bermaksud Tuhan dalam bahasa itu.

17:110 Katakan: Panggil Allah atau panggil atas gelaran, Tuhan Yang Pemurah, apa pun yang kamu panggil, Dia memiliki gelaran-gelaran yang terbaik.

7:180 Dan Allah pemilik gelaran-gelaran terbaik, oleh itu panggillah Dia dengannya, dan tinggalkan mereka yang melanggar kemurnian gelaran-gelaran Tuhan, mereka akan mendapat balasan atas apa yang mereka perbuat.

Dari ayat-ayat yang saya kemukakan di atas adalah jelas penggunaan istilah Tuhan dalam bahasa apa pun tidak penting. Yang penting adalah jika kita orang yang percaya kepada Al-Kitab, tidak kiralah Al-Kitab yang mana satu, kita perlu patuh kepada perintah-perintah Tuhan yang telah ditetapkan dan menjadikan ianya komitmen kita kepada Tuhan. Berebut istilah Tuhan dalam bahasa Arab tidak akan memberi apa-apa makna jika hakikatnya apa yang kita amalkan tidak bersandar kepada Al-Kitab Tuhan yang sebenar.

Written by tolokminda

January 5, 2010 at 5:57 am