Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘Al-Kitab

Setiap umat Al-Kitab menyelewengkan Kitab Tuhan yang telah disampaikan kepada mereka oleh para rasul

with 108 comments

Pada umumnya umat Islam beranggapan mereka merupakan satu-satunya umat yang berada di atas jalan yang lurus berbanding dengan umat-umat agama lain. Mereka kata semua umat agama lain telah menyelewengkan Kitab-Kitab Allah yang mereka terima dan Al-Quran diturunkan untuk menggantikan atau memansuhkan semua Kitab-Kitab terdahulu. 

Dan oleh kerana umat-umat Al-Kitab terdahulu itu tidak mahu menerima Al-Quran, maka umat Islam menyifatkan mereka sebagai orang-orang yang ingkar – kafir. Tetapi benarkah umat-umat terdahulu menjadi kafir kerana mereka enggan percaya kepada Al-Quran atau sebenarnya mereka sememangnya enggan percaya kepada Kitab-Kitab dan rasul-rasul Allah?

Jika mereka percaya kepada wahyu Tuhan yang telah disampaikan kepada mereka tentu mereka telah menemui perintah yang seumpama ini.

3:84 Katakan: Kami percaya kepada Allah dan apa yang telah diwahyukan kepada kami dan apa yang telah diwahyukan kepada Ibrahim dan Ismail dan Ishak dan Yakob dan yang terdahulu dan apa yang telah diberikan kepada Musa dan Isa dan kepada nabi-nabi dari Tuhan mereka – kami tidak tidak membeza-bezakan di antara mana-mana mereka, dan kepada Dia kami berserah.

Ayat di atas menyuruh kita mengakui bahawa semua Kitab Tuhan sama saja isikandungannya dan nabi-nabi yang menyampaikannya juga sama saja status mereka. Ini bermakna setiap umat Al-Kitab – termasuk kita – hanya perlu mematuhi Al-Kitab masing-masing untuk mendapat petunjuk ke jalan yang lurus. Kitab Tuhan tidak menyesatkan umatnya baik dulu mahupun sekarang. Umat Al-Kitab sepatutnya saling menerima dan mengesahkan antara satu sama lain. 

Jadi apakah sebenarnya faktor yang telah menyesatkan setiap umat Al-Kitab?

2:113  Dan orang-orang Yahudi berkata: Orang-orang Nasrani tidak berasas. Dan orang Nasrani berkata: Orang-orang Yahudi tidak berasas sedangkan kedua-duanya membaca Al-Kitab. Samalah juga, mereka yang tidak berpengetahuan bercakap perkara yang sama. Tuhan akan menghakimi apa yang mereka perselisihkan di hari akhirat kelak.

Dari ayat di atas kita dapat melihat punca perselisihan antara umat Al-Kitab – puncanya adalah kerana kejahilan dan ketidakpercayaan mereka. Perhatikan selain dari Yahudi dan Nasrani, Tuhan turut menyatakan bahawa golongan-golongan lain yang tidak berpengetahuan juga bercakap mengenai perkara yang sama. Mereka kata mereka saja yang betul sedangkan orang lain tidak. Bukankah ini turut boleh dirujuk kepada anggapan umat Islam yang saya sebut di awal tadi?

Tidak boleh dinafikan lagi – nampaknya umat Islam juga telah mengubah cara hidup yang ditetapkan oleh Tuhan untuk seluruh manusia – yang bersifat universal – menjadi agama sempit bersifat kepuakan sepertimana Yahudi dan Kristian.

Hakikat bahawa semua Kitab Tuhan adalah sama dan Tuhan tidak pernah membatalkan mana-mana KitabNya walaupun selepas turunnya Al-Quran adalah suatu perkara yang amat penting untuk kita fahami kerana hanya dengan kefahaman tersebut sahajalah kita akan dapat membuka perspektif terhadap kesejagatan (universality) wahyu-wahyu Tuhan dari yang terdahulu sehinggalah Al-Quran. 

Semua umat Al-Kitab adalah sama taraf dan kedudukannya di sisi Tuhan sebagaimana sama taraf dan kedudukan nabi-nabi mereka. Semua umat Al-Kitab sepatutnya mengamalkan cara hidup yang sama.

Jika hari ini kita melihat sempadan dan perbezaan di antara umat-umat Al-Kitab, ia bukanlah kerana Tuhan telah menurunkan Kitab yang berbeza-beza . Sebaliknya ia adalah akibat penyelewengan tafsiran terhadap Kitab-Kitab Allah yang dilakukan oleh setiap umatnya. Jika setiap umat Al-Kitab kembali kepada Kitab-Kitab mereka dan memurnikannya dari segala bentuk penyelewengan yang telah dimulakan oleh generasi-generasi yang terdahulu, saya percaya bumi ini akan menjadi sebuah kediaman yang aman untuk semua.

Written by tolokminda

March 15, 2010 at 5:53 am

Posted in Quran

Tagged with , , ,