Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for the ‘Kehidupan Harian’ Category

Lagi perbincangan tentang poligami..

with 5 comments

Blog ini pernah membincangkan perihal poligami. Para pembaca budiman boleh mengulangbaca mengenainya di sini.

Kita semua tahu bahawa kepercayaan kononnya Tuhan membenarkan seseorang lelaki berkahwin lebih dari satu, iaitu berpoligami sehingga empat orang isteri dalam satu masa adalah disandarkan ayat 4:3. Bagaimanapun, selepas melihat secara dekat ayat berkenaan ia jelas tidak ada kena mengena dengan kebenaran berpoligami. Ayat itu hanyalah merujuk kepada satu cadangan jalan keluar bagi mereka yang menjadi penjaga kepada anak-anak yatim perempuan yang telah matang.

4:3  Dan jika kamu bimbang kamu tidak dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim itu, maka kamu boleh kahwinkan mereka yang kamu rasa sesuai dari yang perempuan – dua, dan tiga dan empat. Tetapi jika kamu bimbang kamu tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah satu atau yang mana telah kamu beri perjanjian. Ini lebih baik supaya kewangan kamu tidak terbeban – (terjemahan semula dari Free-minds.org)

Pada dasarnya ayat 4:2-5 menjelaskan hak anak-anak yatim apabila mereka telah matang. Anak-anak yatim yang sudah matang berhak untuk menguruskan harta dan diri mereka sendiri. Dan perkahwinan juga boleh menjadi satu pilihan yang berpatutan buat mereka.

Maka berdasarkan kepada ayat 4:3, anak-anak yatim – khususnya yang perempuan dan telah matang dan dirasakan sesuai, bolehlah dikahwinkan oleh para penjaga mereka seorang demi seorang atau mungkin secara berkumpulan – dua atau tiga atau empat atau lebih dari itu sekaligus. Bagaimanapun seperti yang disebut juga di dalam 4:3, keputusan mutlak samada ada untuk mengahwinkan anak-anak yatim itu secara seorang demi seorang atau secara berkumpulan adalah terpulang kepada pihak yang menjaga mereka.

Membuat majlis perkahwinan untuk beberapa pasangan sekaligus sudah pastilah memerlukan belanja yang lebih besar. Jadi pihak penjaga tentu lebih maklum telah kemampuan mereka. Jika tiada kemampuan buatlah satu-satu. Dan jika mana-mana anak yatim itu telah pun dipinang orang, maka ia termasuk sebagai satu perjanjian yang boleh diutamakan perkahwinannya.

Itulah yang dapat saya fahami dari 4:3. Ia langsung tidak ada kena mengena dengan kebenaran berpoligami. Saya berpendapat poligami bukanlah satu amalan yang boleh disandarkan kepada Tuhan atau Nabi. Tidak ada satu ayat pun di dalam Al-Quran yang boleh dirujuk untuk mempromosikan amalan itu.

Sebaliknya Tuhan menasihatkan para lelaki supaya hidup dengan isteri mereka atas dasar kasih sayang dan persamaan. Sesuatu perkara yang mereka tidak suka mengenai isteri mereka mungkin mengandungi pelbagai kebaikan lain yang Tuhan kurniakan tanpa disedari. Walaupun begitu Tuhan tidak menghalang jika mereka benar-benar mahu bertukar isteri. Apa yang mereka perlu lakukan hanyalah menceraikannya dengan cara baik dan memberikan segala hak bekas isterinya. Kita boleh menyemak semua ini dalam Surah yang sama, ayat 19 & 20.

4:19  Wahai kamu yang percaya! Kamu dilarang memiliki perempuan tanpa kerelaan mereka. Tidak sepatutnya juga kamu melayan mereka dengan kekerasan yang kamu mungkin mengambil sebahagian dari hadiah perkahwinan yang telah kamu berikan kecuali di mana mereka didapati bersalah melakukan kecurangan. Sebaliknya hiduplah dengan mereka atas dasar kasih sayang dan persamaan. Jika kamu tidak suka sesuatu mengenai mereka ia mungkin hanya kerana kamu tidak suka satu perkara, dan Tuhan membawakan melaluinya pelbagai kebaikan lain.

4:20  Tetapi jika kamu memutuskan untuk mengambil seorang isteri mengantikan yang lain, walaupun kamu telah memberi semua milik kamu sebagai hadiah perkahwinan kepada yang terdahulu, janganlah ambil kembali sedikit pun daripadanya. Adakah kamu mahu mengambilnya melalui fitnah dan membuka kesalahan?

Melalui ayat 4:20 Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa lelaki boleh menggantikan isteri mereka jika itu yang mereka mahu – tetapi bukan cadangan supaya menambah isteri.

4:20 menjelaskan hak menceraikan isteri untuk berkahwin lain adalah hak mutlak seseorang suami. Bekas isteri hanya berhak mendapat harta yang telah diberikan kepadanya di sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Pendek kata, jika seorang suami memutuskan untuk menceraikan isterinya kerana mahu berkahwin lain, maka si isteri tidak mempunyai pilihan selain menerima penceraian yang dimahukan suaminya. Apa boleh buat, kalau dah suami tidak mahu mendengar nasihat Tuhan.

Tetapi bagaimana jika si suami mahu berkahwin baru namun tidak mahu menceraikan isteri sedia ada? Saya berpendapat jawapannya terdapat di dalam permulaan 4:19.

4:19  Wahai kamu yang percaya! Kamu dilarang memiliki perempuan tanpa kerelaan mereka…

Saya melihat ayat di atas membawa maksud bahawa seorang suami akan hilang hak terhadap isterinya jika si isteri tidak lagi rela untuk meneruskan perkahwinan mereka – walau apapun sebabnya. Dalam konteks yang diperbincangkan dalam artikel ini misalnya, jika kerana si suami mempunyai hubungan dengan wanita lain dan isteri tidak merelakannya maka di situlah sempadannya. Jika isteri minta cerai, suami ada alasan untuk menolaknya.

Dengan kata lain, jika suami diberi hak untuk menceraikan isterinya dengan alasan seperti mahu berkahwin lain, isteri juga sebenarnya diberi hak yang sama di mana mereka boleh melepaskan diri secara tidak langsung apabila mereka hilang kerelaan diri terhadap suami. Seorang lelaki tidak boleh memiliki wanita yang tidak rela.

Ketetapan ini selaras dengan saranan Tuhan bahawa suami isteri itu perlu hidup di atas dasar persamaan seperti yang disebut di dalam 4:19.

Seorang suami boleh menceraikan isteri yang sudah tidak disukainya dan dalam masa yang sama beliau tidak boleh memiliki isteri yang sudah tidak lagi rela hidup bersamanya. Saya berpendapat, tidak ada sesiapa boleh membantah hak yang telah diberikan oleh Tuhan kepada kedua-dua belah pihak, iaitu kaum lelaki dan kaum wanita berkenaan perkara ini. Ia “fair and square”. Perkahwinan paksa, gantung tak bertali? No way Jose!

Bagaimana pula jika si isteri rela untuk “hidup bermadu”?

Dari pendapat yang telah saya kemukakan merujuk kepada ayat-ayat 4:3, 4:19 dan 4:20 – marilah kita sama-sama bincangkan soalan yang satu ini. Saya percaya kekhilafan masyarakat terhadap kebenaran berpoligami dan undang-undang keluarga yang tidak berasaskan Al-Quran telah banyak menyumbang kerosakan di kalangan masyarakat Islam dan institusi kekeluargaan mereka. Tidak ada pilihan lain, kerosakan hanya boleh diatasi dengan usaha pembaikan berasaskan kebenaran.

Berikut adalah beberapa ayat berkaitan lain yang mungkin boleh kita turut sama fikir-fikirkan.

30:21  “Di antara tanda-tandaNya ialah Dia telah mencipta untuk kamu dari diri kamu sendiri pasangan untuk berharmoni dengannya – dan untuk membina/mencipta sesama kamu perasaan cintai mencintai. Sesungguhnya pada yang demikian adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.”

4:129  “Kamu sekali-kali “TIDAK” akan bersikap adil walaupun kamu benar-benar inginkannya”.

4:26-27  “Allah ingin menjelaskan kepada kamu dan memberi petunjuk kepada kamu dan arah tuju orang-orang dari sebelum kamu. Dia ingin menerima taubat kamu dan Allah amat menggetahui dan Bijaksana. Dan Allah sanggup menerima taubat kamu sedangkan orang-orang yang mengikuti “HAWA NAFSU” (Shahwat) mereka – mereka ingin melihat kamu menyeleweng sejauh-jauhnya.”

Written by tolokminda

December 16, 2010 at 2:58 am

Posted in Isu Semasa, Kehidupan Harian

Tagged with

Tuhan suruh para peniaga komited kepada ketetapan-ketetapanNya dalam menjalankan urusan mereka dan bukannya membuang masa dengan ketetapan-ketetapan lain yang sia-sia

with 8 comments

Kali ini saya ingin membawa sekali lagi terjemahan iiu.edu.my yang saya fikir maksudnya telah diseleweng sehingga memudarkan mesej Tuhan yang sebenar.

24:36 (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

24:37 (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

24:38 (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.

24:39 Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Transliterasi:

24:36 Fee buyootin athina Allahu an turfaAAa wayuthkara feeha ismuhu yusabbihu lahu feeha bialghuduwwi waal-asali

24:37 Rijalun la tulheehim tijaratun wala bayAAun AAan thikri Allahi wa-iqami alssalati wa-eeta-i alzzakati yakhafoona yawman tataqallabu feehi alquloobu waal-absaru

24:38 Liyajziyahumu Allahu ahsana ma AAamiloo wayazeedahum min fadlihi waAllahu yarzuqu man yashao bighayri hisabin

24:39 Waallatheena kafaroo aAAmaluhum kasarabin biqeeAAatin yahsabuhu alththam-anu maan hatta itha jaahu lam yajidhu shay-an wawajada Allaha AAindahu fawaffahu hisabahu waAllahu sareeAAu alhisabi

Perhatikan bagaimana terjemahan iiu.edu.my telah memasukkan perkataan “ibadat” beberapa kali di dalam terjemahan mereka sedangkan ia tidak disebut di dalam teks asal Al-Quran. Ayat-ayat 24:36-38 jelas merujuk kepada para peniaga tetapi terjemahan iiu.edu.my berlegar dalam hal rumah ibadat, ibadat dan “orang-orang yang kuat imannya”. Para pembaca budiman telitilah sendiri. Saya sertakan sekali transliterasi bagi tujuan itu.

Dan berikut adalah terjemahan semula yang saya lakukan berdasarkan beberapa terjemahan lain.

24:36 Di dalam rumah-rumah yang Tuhan izinkan ia didirikan dan namaNya disebut di dalamnya. Dia diagungkan di dalamnya setiap pagi dan petang.

24:37 Oleh mereka yang tidak terganggu dengan perniagaan dari peringatan Tuhan dan berpegang kepada komitmen dan memurnikannya. Mereka takut satu hari apabila jantung dan penglihatan di terbalikkan.

24:38 Tuhan akan membalas mereka dengan yang terbaik di atas apa yang mereka telah lakukan dan Dia akan menambah untuk mereka kemurahanNya. Dan Tuhan mengurniakan kepada sesiapa saja yang dikehendaki tanpa mengira.

24:39 Dan kepada mereka yang tidak percaya, kerja-kerja mereka adalah seperti fatamorgana di gurun. Orang yang dahaga fikir ia adalah air, sehinggalah ia sampai kepadanya dia tidak menemui apa-apa dan dia dapati Tuhan di sana dan Dia membalas apa yang wajar kepadanya, dan Tuhan amat cepat pengiraannya.

Tafsiran saya:

Para peniaga atau ahli perniagaan yang baik adalah mereka yang tidak lalai dari peringatan Tuhan dalam usaha yang mereka jalankan – mereka sentiasa berpegang kepada komitmen perniagaan yang Tuhan telah tetapkan kepada mereka dan sentiasa memurnikan komitmen tersebut demi Tuhan (24:37). Dengan berbuat demikian mereka sebenarnya mengagungkan Tuhan pada setiap masa ketika menjalankan aktiviti perniagaan di dalam premis-premis (rumah-rumah – buyootin) perniagaan yang pada hakikatnya dapat mereka bina dengan keizinan Tuhan (24:36).

Di atas usaha mereka berniaga dengan baik selaras dengan apa yang telah Tuhan tetapkan, maka Tuhan akan membalas dengan kemurahanNya. Dalam konteks ayat – ia bermaksud keuntungan dan kemakmuran (24:38)

Dengan kata lain, tiga ayat di atas adalah tentang nasihat Tuhan bagi sesiapa yang menjalankan perniagaan. Perniagaan tidak boleh menjadikan mereka lalai kepada peringatan Tuhan sebaliknya perniagaan itu mestilah dijalankan selaras dengan peringatanNya. Ketetapan-ketetapan Tuhan mengenai perniagaan sebenarnya telah digariskan di dalam Quran. Oleh itu para peniaga perlu menjadikan semua ketetapan Tuhan tersebut sebagai komitmen sambil memurnikannya demi Tuhan semata-mata. Jika itu yang dilakukan oleh para peniaga maka premis-premis perniagaan mereka akan sentiasa subur dengan pengagungan kepada Tuhan.

Para peniaga tidak perlu keluar dari premis perniagaan mereka untuk mengagungkan Tuhan. Mereka boleh melakukannya di dalam premis mereka sendiri sepanjang masa – pagi dan petang. Apa yang mereka perlukan hanyalah kepatuhan kepada ketetapan-ketetapan Tuhan dalam aktiviti yang mereka jalankan dan Tuhan akan membalas dengan hasil yang terbaik serta menambahkannya tanpa mengira.

Kemudian ayat 24:39 Tuhan mempertunjukkan perbezaan di antara kerja orang yang percaya – seperti para peniaga yang patuh sebagaimana yang disebut dalam 24:36-38 dengan kerja orang-orang yang tidak percaya. Tuhan memberitahu kita kerja orang yang tidak percaya adalah seperti fatamorgana – yang nampak macam sangat baik atau sangat berbaloi atau sangat berguna atau dapat membantu atau dapat menyelesaikan masalah – ibaratnya kalau orang dahaga dia ingat itu air yang dapat menyelamatkan dirinya – tetapi sebenarnya ia hanyalah khayalan, sia-sia – bukanlah sesuatu yang boleh digantung harap. Apabila mereka menemui Tuhan nanti barulah mereka akan sedar bahawa apa yang mereka lakukan tidak mendatangkan apa-apa manfaat bahkan apa yang menanti hanyalah hukuman Tuhan saja.

Sebagai penutup, saya lontarkan satu persoalan. Adakah iiu.edu.my mahu kita menjadi golongan yang tidak percaya sebagaimana yang disebut oleh Tuhan dalam 24:39 melalui terjemahannya? Para pembaca budiman buatlah penilaian dan semakan sendiri. Saya fikir adalah tidak wajar untuk kita menunggu sehingga mati dan bertemu Tuhan untuk mengetahui apakah yang benar dan apakah yang palsu. Sekarang adalah peluang untuk kita faham mesej-mesej sebenar Pencipta kita jika kita benar-benar mahu menjadi seseorang atau umat yang berjaya baik di dunia mahupun akhirat.

Written by tolokminda

August 21, 2010 at 10:54 am

Posted in Kehidupan Harian

Ceramah agama adalah aktiviti golongan yang tidak percaya?

with 469 comments

Dari tajuk yang dikemukakan, tentu ramai yang merasa sukar untuk menerimanya. Bagaimana ceramah agama – majlis ilmu yang sentiasa disifatkan sebagai penuh dengan keberkatan – dikatakan sebagai majlis bagi golongan orang yang tidak percaya atau dengan kata lain, ingkar atau kafir?

Tetapi petunjuk Tuhan amatlah jelas. Jadi sebelum melemparkan tuduhan dan kemarahan, adalah lebih baik kita renung apa yang dinyatakan oleh Tuhan melalui ayat-ayat yang dikepilkan di bawah ini.

2:170 Dan jika mereka diberitahu: Patuhilah apa yang Tuhan telah turunkan. Mereka berkata: Tidak kami akan menuruti apa yang kami dapati bapa-bapa kami lakukan. Bagaimana jika bapa-bapa mereka tidak faham satu apa pun dan tidak mendapat petunjuk?

2:171 Dan contoh mereka yang tidak percaya adalah seperti seorang yang mengulang-ulang apa yang dia telah dengari dari laungan dan doa; pekak, bodoh dan buta, mereka langsung tidak faham.

Pada pandangan para pembaca budiman, apakah yang dimaksudkan dengan mendengar dari “laungan dan doa”?. Saya berpendapat ia adalah majlis ceramah agama. Kita boleh mendengar laungan penceramah dan juga doa. Mari bincangkan.

Written by tolokminda

May 14, 2010 at 12:43 am

Adakah ritual kematian dan pengasingan kawasan kubur mengikut agama anutan dapat membantu si mati?

with 54 comments

Kali ini saya mahu mengajak para pembaca budiman melihat satu topik yang mungkin agak menakutkan – iaitu tentang kubur dan pengurusan mayat. Takut atau tidak kita tidak akan dapat lari dari hakikat yang sememangnya berada di hadapan kita. Jadi saya berpendapat ia adalah satu topik yang wajar kita bincangkan.

Kita semua tahu bahawa Tuhan menghidupkan kita dan Dia juga akan mematikan kita.

23:12  Dan sesungguhnya Kami telah cipta manusia dari ekstrak tanah liat,

23:13  Dan Kami jadikan dia dari benih yang halus di dalam ruang bergantung yang kukuh,

23:14  Kemudian benih itu Kami jadikan embrio, kemudian Kami jadikan embrio itu fetus, kemudian Kami jadikan fetus itu tulang, kemudian Kami salut tulang itu dengan daging, kemudian Kami membesarkannya sebagai satu makhluk baru. Jadi pujian kepada Allah, Pencipta yang terbaik.

23:15  Kemudian selepas itu kamu pasti akan mati.

Kemudian Dia akan menghidupkan kita kembali dari kubur masing-masing untuk dihakimi dan diberi balasan yang setimpal di akhirat kelak.

36:51  Dan sangkakala akan ditiup, bilamana dari kubur-kubur mereka mereka akan bergegas ke hadapan Tuhan mereka.

Ayat 36:51 menggambarkan kepada kita bagaimana proses menghidupkan semula setiap manusia yang telah mati akan dilakukan pada hari kiamat nanti. Selepas Sangkakala ditiup kita semua akan bangkit dari kubur masing-masing dan bergegas ke hadapan Tuhan untuk menerima penghakiman.

Tidak ada sesiapa yang akan terlepas dari proses ini. Tidak ada pengecualian. Tidak ada perbezaan. Tidak ada keistimewaan. Dan setiap orang akan bangkit dari kubur dan terus bergegas menuju ke hadapan Tuhan.

70:43  Pada hari di mana mereka akan datang dari kubur-kubur mereka dengan tergesa-gesa seperti mereka sedang bergegas ke arah suatu matlamat,

Jika begitulah keadaannya maknanya di mana pun kita dikuburkan sebenarnya tidak penting.  Samada kita dikuburkan di Amerika atau di Malaysia – tidak ada beza. Samada kita dikuburkan di halaman rumah atau di tanah perkuburan yang direzabkan – kita akan dibangkitkan juga.

Oleh itu soalan cepu emas saya dalam perkara ini – apakah relevannya pengkhususan kawasan perkuburan mengikut agama yang diamalkan oleh masyarakat manusia selama ini? Jika semasa hidup kita boleh tinggal dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama dalam satu bangunan atau kawasan – mengapa bila mati tak boleh pula?

Kemudian, tentang amalan-amalan ritual kematian atau pengkebumian. Setiap bangsa atau umat memiliki kaedah ritual kematian dan pengkebumian masing-masing. Dan amalan ritual ini boleh dianggap antara amalan yang paling diambilberat dan sentiasa dipatuhi dalam sesebuah masyarakat – kebiasaannya ia berkait rapat dengan kepercayaan agama mereka.

Umat Islam hari ini juga tidak terlepas dari memiliki set ritual berkaitan kematian. Bermula dari pengurusan mayat sehingga kepada pengkebumian – semua telah ditetapkan syarat dan caranya. Tetapi benarkah ritual-ritual kematian ini benar-benar perlu? Kita lihat bagaimana Tuhan mengajar kita menguruskan mayat.

5:31 Maka Tuhan menghantar seekor gagak untuk menggali tanah dan menunjukkan kepadanya bagaimana dia harus menguruskan mayat adiknya. Dia berkata: Celakalah aku! Aku tidak mampu walaupun untuk menjadi seperti gagak ini dan menguruskan mayat adikku? Maka dia menjadi antara mereka yang menyesal.

Melalui ayat 5:31 di atas Tuhan menjadikan anak Adam yang pertama mati di atas mukabumi ini sebagai contohnya. Si abang telah membunuh si adik dan dia tidak tahu bagaimana mahu menguruskan mayat adiknya. Lalu Tuhan hantar seekor burung gagak untuk mengajar caranya – dipendekkan cerita – caranya adalah korek lubang dan tanam. Semudah itu saja.

Bagaimanapun saya yakin ramai yang tidak akan dapat menerima kaedah yang Tuhan ajar melalui ayat 5:31. Ini kerana mereka sudah terbiasa dengan ritual kematian yang diajar oleh para ulama sejak turun temurun.  Tetapi bukankah Tuhan telah menjelaskan status si mati melalui ayat berikut.

6:94 Dan kamu telah datang kepada Kami secara bersendirian sama seperti ketika Kami mencipta kamu pada kali pertama; dan kamu telah meninggalkan di belakang kamu semua yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak nampak semua pengantara yang selama ini kamu dakwa sebagai sekutu-sekutu kamu; semuanya telah terpisah di antara kamu dan segala yang kamu dakwa telah meninggalkan kamu.

Mari kita bincangkan.

Written by tolokminda

March 26, 2010 at 4:19 am

Posted in Kehidupan Harian, Quran

Tagged with , ,

Nabi, rasul dan mereka yang percaya tidak menjana sebarang pendapatan dari wahyu-wahyu Tuhan

with 134 comments

Tuhan telah melantik ramai nabi dan rasul di kalangan umat manusia untuk menyampaikan peringatan, pedoman dan berita baik dalam bentuk wahyu dan Al-Kitab  supaya mereka mengamalkan cara hidup yang direstui Tuhan. Sebahagian darinya kita ketahui nama, bangsa dan pekerjaan mereka. Dan sebahagian pula hanya Allah yang mengetahui siapa mereka.

Dan dari semua nabi dan rasul yang diceritakan kepada kita oleh Tuhan, tidak ada seorang pun dari mereka menyara hidup dengan apa yang mereka sampaikan. Nabi dan rasul tidak menerima sebarang upah atau ganjaran dari sebarang “majikan dunia” untuk menjalankan tugas mereka menyampaikan wahyu Tuhan. Sebagai contoh mari kita lihat apa kata para nabi mengenai upah atau ganjaran mereka.

Nabi Nuh:

26:109 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.

Nabi Hud:

26:127 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.

Nabi Saleh:

26:145 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.

Nabi Luth:

26:164 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.

Nabi Syuib:

26:180 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.

Keadaan ini berlawanan dengan pembesar-pembesar agama golongan penyekutu Tuhan yang biasanya merupakan individu-individu yang mendapat upah atau ganjaran di atas kedudukan mereka. Dari zaman Firaun sehinggalah ke era abad ke 21 – para pembesar agama merupakan golongan yang dinaungi pemerintah dan  mereka menjana sumber pendapatan dalam bentuk upah, gaji, elaun dan sebagainya kerana peranan mereka “menjaga” agama masyarakat.

Tetapi cuba kita lihat apa yang Tuhan suruh Nabi katakan dalam hal ini.

38:86  Katakan: Aku tidak meminta kamu sebarang ganjaran untuknya; tidak juga aku dari kalangan yang mengada-adakan.

38:87  Ia tidak lain adalah satu Peringatan kepada semua yang berpengetahuan.

38:88 Dan sesungguhnya kamu akan mengetahuinya apabila masanya tiba.

Jelas sekali Nabi juga menuruti jejak nabi-nabi terdahulu – ganjaran untuk dirinya di atas tugas sebagai rasul yang menyampaikan wahyu Tuhan hanya disandarkan kepada Allah semata-mata. Untuk menyara kehidupan, Nabi bekerja sebagaimana orang lain.

6:135  Katakan: Wahai kaumku, kerjakanlah pekerjaan yang sesuai, kerana aku juga bekerja. Nanti Kamu akan mengetahui siapakah yang akan mendapat hasilnya. Sesungguhnya tidak akan berjaya mereka yang membuat salah.

Begitu juga Tuhan menggambarkan kepada kita berkenaan orang-orang yang percaya – mereka tidak mengambil apa-apa keuntungan dari wahyu Tuhan yang telah sampai kepada mereka.

3:199 Dan sesungguhnya di kalangan ahli Kitab, yang percaya kepada Allah dan apa yang telah didedahkan kepada kamu dan yang telah didedahkan kepada mereka – mereka merendah diri terhadap Allah – mereka tidak menukar ayat-ayat Tuhan dengan harga yang sedikit; kepada mereka ganjaran mereka adalah dari Pemelihara mereka – sudah tentu Allah sangat cepat membuat perkiraan.

Bagaimana pula pendapat para pembaca semua mengenai perkara ini? Wajarkah kita mengambilnya sebagai satu petunjuk untuk kita membuat penilaian siapa yang patuh kepada Allah – yang mengikuti jejak para nabi dan rasul – dan siapa yang sebaliknya?

Written by tolokminda

March 19, 2010 at 5:14 pm

Kiblat kita adalah batasan ketetapan yang telah direstui Tuhan

with 36 comments

Kita tahu golongan penyekutu Tuhan sentiasa mempunyai kiblat atau arah sembahan masing-masing. Tetapi sebagai Muslim kita tidak memerlukan kiblat atau arah sembahan seperti mereka. Sebagai Muslim kita tidak menyembah apa-apa.

Hidup kita adalah semata-mata untuk berbakti atau berkhidmat kepada Tuhan melalui kepatuhan kepada ketetapan-ketetapan yang telah direstui Tuhan (masjidillah). Kita tidak memerlukan arah sembahan yang bersifat menyekutukan Tuhan.

Surah Al-Fatihah:

Dengan nama Tuhan, yang Pemurah dan Penyayang.  Pujian bagi Tuhan – Empunya kepada yang berpengetahuan. Yang Pemurah, Yang Penyayang. Yang Berkuasa pada hari pembalasan. Engkau sahaja kami berbakti dan Engkau sahaja kami mohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan mereka yang patuh. Jalan yang Engkau telah berikan nikmat – bukan mereka yang dimurkai – dan bukan juga mereka yang sesat.

6:162  “Katakanlah: “Sesungguhnya komitmenku dan pengorbananku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Tuhan, Empunya yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

Arah tumpuan atau kiblat kita adalah berkaitan prinsip dan nilai, aturan dan peraturan, contoh dan teladan, penyelidikan dan pembangunan dan sebagainya – yang semuanya boleh kita kembalikan kepada Al-Quran dan rasul dan hasilnya akan membawa manusia kepada nikmat Allah  – melihat keagungan serta kebesaran Tuhan dan menghargai limpah kurnia serta belas kasihNya terhadap manusia.

Untuk memahami apakah yang telah Tuhan jelaskan kepada kita tentang arah tumpuan atau kiblat, kita boleh mulakan dengan membaca dari ayat 2:142.

2:142  Yang bodoh di kalangan orang akan bertanya: “Apa yang membuatkan mereka mengubah arah tumpuan di mana mereka berada?” Beritahu mereka: “Kepada Tuhan kepunyaan Timur dan Barat. Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan mereka yang patuh.”

Maknanya kalau golongan penyekutu Tuhan tanya kita, habis kalau tak ada kiblat kamu nak berkiblatkan apa? Maka kita kena jawab sepertimana Tuhan ajar iaitu, beritahu mereka apa saja di Timur dan Barat adalah milik Tuhan. Kita tak perlu arah tumpuan atau kiblat untuk disekutukan secara spesifik kepada Tuhan.

Kita harus berpegang kepada rasional dalam perkara ini supaya kita dapat menjelaskan kepada kepada orang lain dan menjadi saksi kepada mereka dan di akhirat nanti rasul juga akan menjadi saksi bersama-sama kita.

Malah Tuhan turut membuat penegasan bahawa Dia tidak menetapkan sebarang arah tumpuan atau kiblat yang berada di mukabumi (yang mana kita di atasnya). Tuhan kata memang susah (berat) untuk menerima hakikat ini, kecuali jika kita mendapat petunjuk Tuhan.

2:143  Dan begitulah kami menjadikan kamu umat yang diutamakan supaya kamu menjadi saksi kepada orang lain dan supaya rasul bersama kamu sebagai saksi. Dan Kami tidak menjadikan arah tumpuan yang kamu sendiri di atasnya – tetapi Kami tahu siapa yang akan menuruti rasul – dari mereka yang berpaling di atas tumit mereka. Sesungguhnya ia adalah berat kecuali kepada mereka yang telah diberi petunjuk oleh Tuhan. Dan Tuhan tidak akan mensia-siakan kepercayaan kamu. Sesungguhnya Tuhan Penyayang, Mengasihani manusia.

Selain dari itu, Tuhan juga memberitahu kita bahawa semua umat penerima Al-Kitab Allah sebenarnya kenal kiblat atau arah tumpuan – yang hak – yang Tuhan tetapkan melalui Al-Quran kerana ia menepati apa yang telah disampaikan kepada mereka sebelum ini. Tuhan kata mereka mengenalinya seperti mereka mengenali anak sendiri.

Begitulah universalnya ketetapan tentang kiblat atau arah tumpuan kepada semua umat penerima Al-Kitab.

Tuhan kata sebenarnya ramai di kalangan mereka yang tahu mengenai perkara itu tetapi menyembunyikan kebenaran mengenainya. Mungkin mereka dikaburi  kecenderungan terhadap amalan-amalan mempersekutukan Tuhan atau mungkin juga kerana tidak mahu melepaskan keuntungan yang dapat dijana akibat penyembunyian itu.

2:146  Mereka yang telah kami berikan Al-Kitab – mereka mengenalinya sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri. Sebenarnya ramai di kalangan mereka – tetapi mereka menyembunyikan kebenarannya – dan mereka tahu dengan sebenar-benarnya.

Oleh itu kita tidak harus ragu-ragu terhadap kebenaran yang Tuhan sendiri telah bawakan kepada kita melalui Al-Quran dan tidak terjerumus ke dalam perangkap kekufuran yang dipasang oleh golongan penyembunyi kebenaran yang hanya mahu mempergunakan kita.

Walaupun begitu, saya setuju jika para pembaca budiman berpendapat keraguan dan kebimbangan itu sukar diatasi kerana ia bermakna kita terpaksa menolak atau membuang semua kepercayaan kita sebelum ini dan menjadi terasing dalam masyarakat atau mungkin dalam keluarga sendiri. Tetapi kita tidak ada pilihan. Kita tidak boleh ragu-ragu dalam perkara ini.

2:147  Kebenaran adalah dari Tuhan kamu, jadi elakkan dari menjadi mereka yang ragu-ragu.

Dan Tuhan meyakinkan kita supaya jangan bimbang tentang orang lain. Kita patut tumpu kepada diri kita sendiri. Tuhan suruh kita berlumba ke arah berbuat kebaikan berasaskan kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai murni pada setiap masa dan di mana saja. Jika itu yang kita lakukan, Tuhan akan letakkan kita di hadapan atau dengan kata lain, Tuhan akan bantu kita menjadi seseorang atau satu umat yang berjaya.

2:148  Dan setiap orang adalah tumpuannya sendiri. Maka kamu harus berlumba ke arah nilai-nilai yang murni – setiap masa dan di mana saja kamu berada Tuhan akan meletakkan kamu di hadapan, semua kamu bersama-sama. Sesungguhnya Tuhan mengatasi setiap apa saja – sangat jitu.

Jadi apakah prinsip-prinsip dan nilai-nilai berkenaan? Tentulah semuanya berkaitan batasan ketetapan yang direstui Tuhan iaitu, masjidilharam.

2:149  Dan dari mana pun kamu pergi – maka kamu harus tumpukan kepada batasan ketetapan yang telah direstui (masjidilharam). Dan sesungguhnya ia adalah kebenaran dari Tuhan kamu dan Tuhan tidak akan gagal untuk memberi perhatian kepada apa saja perbuatan kamu.

Sekarang lebih jelaslah kepada kita bahawa perkataan masjid bermaksud ketetapan yang direstui dan masjidilharam bermaksud batasan ketetapan yang direstui. Semua perincian mengenai kedua-duanya terdapat di dalam Al-Quran. Itulah tujuan Al-Quran diturunkan. Supaya kita membacanya. Supaya kita tidak sesat. Supaya kita sentiasa berada dalam batasan ketetapan yang telah direstui Tuhan.

Kita tidak perlu mendongak ke langit atau ke mana-mana pun untuk berada dalam batasan cara hidup yang direstui Tuhan.  Baca sajalah Al-Quran yang Tuhan bekalkan kepada kita. Di dalamnya mengandungi semua perkara yang kita perlu tahu. Petunjuk jalan yang lurus.

Itulah yang sepatutnya menjadi tumpuan kita supaya kita menjadi manusia yang fokus  kepada nilai-nilai dan amalan-amalan yang membawa manfaat di bumi Allah. Supaya kita berjaya menjadi khalifah seperti yang dimatlamatkan Tuhan terhadap kita. Yang Tuhan yakin kita mampu melakukannya. Supaya kita dapat buktikan bahawa Tuhan betul dan iblis salah.

2:144 Sesungguhnya kami nampak kamu mengolah tumpuan kamu ke arah langit. Jadi kami palingkan kamu ke satu arah yang kamu sukai. Oleh itu tumpukan tumpuan kamu ke arah batasan ketetapan yang direstui (almasjidi alharami). Dan di mana pun kamu berada maka tumpukan perhatian kamu kepadanya. Dan sesungguhnya mereka yang telah kami berikan Al-Kitab pasti tahu yang ia sememangnya kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Tuhan tidak pernah gagal untuk memberi perhatian dari semua perbuatan mereka.

Jika kita sudah faham hakikat kiblat yang diajar Allah ini, kita akan dapat memahami dan melihat dengan jelas bahawa pertelagahan golongan penyekutu Tuhan yang mengaku kononnya kiblat masing-masing sahajalah yang betul sebenarnya hanyalah palsu dan sia-sia belaka.

Bagaimanapun kalau kita tunjuk semua bukti tentang kepalsuan dan penipuan yang mereka bawa tentang kiblat kepada para penyekutu Tuhan, mereka tidak akan menerima bukti-bukti atau hujah kita. Malah di kalangan mereka sendiri pun masing-masing ada kiblat sendiri dan masing-masing kata mereka saja yang betul. Menurut Tuhan, mereka adalah orang-orang yang sombong atau ego. Oleh itu biarlah mereka dengan kepalsuan dan ego mereka dan jangan sekali-kali kita menuruti mereka membuat zalim.

2:145 Dan walaupun jika kamu membawa kepada mereka yang telah diberi Al-Kitab segala bukti – mereka tidak akan menurut arah tumpuan kamu – dan kamu – mestilah tidak menurut arah tumpuan mereka. Dan mereka (di antara umat penerima Al-Kitab) tidak menurut arah tumpuan satu sama lain. Dan jika kamu ikut ego mereka – dari apa yang telah sampai ke pengetahuan kamu – sesungguhnya kalau kamu buat begitu – kamu akan tergolong dalam golongan orang-orang yang zalim.

Sebagai penutup, cuba renungkan dalam-dalam mengapa Tuhan menggunakan istilah “mereka yang telah diberi Al-Kitab” dalam 2:145 di atas? Kenapa bukan Kristian atau Yahudi dan seumpamanya?

2:145 Dan walaupun jika kamu membawa kepada mereka yang telah diberi Al-Kitab segala bukti – mereka tidak akan menurut arah tumpuan kamu….

Written by tolokminda

February 7, 2010 at 12:45 pm

Bersunat: amalan Islam atau Kristian?

with 94 comments

Bersunat, iaitu membuang kulit bahagian depan kemaluan lelaki dan membuang sebahagian dari klitoris di kemaluan perempuan bukan lagi dianggap pilihan dalam masyarakat Islam. Walaupun ia disebut “sunat” tetapi pengamalannya tidak ubah seperti wajib.

Sunat atau wajib – hakikatnya, adakah amalan itu satu ketetapan Tuhan? Adakah Tuhan menyuruh kita bersunat atau sekurang-kurangnya menggalakkan kita bersunat? Mari kita lihat apa yang Tuhan kata mengenai mahluk ciptaanNya yang dinamakan manusia.

Al-Quran: 40:64.  “Tuhan adalah Dia yang mengamanahkan kepada kamu bumi untuk didiami dan langit sebagai bumbung dan yang mereka kamu dan menyempurnakan bentuk-bentuk  kamu dan telah menyediakan kamu kurniaan dari benda-benda yang baik. Begitulah Allah, Tuhanmu. Jadi pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam”.

Tuhan kata Dia reka kita dan Dia sempurnakan sifat fizikal kita. Jadi, apa yang tidak kena dengan kulit di hujung kemaluan lelaki atau klitoris di kemaluan perempuan?

Kita selalu dengar ustaz dan ustazah ceramah kepada kita bahawa Tuhan larang kita mengubah apa-apa berkaitan dengan anggota badan atau penampilan diri. Warnakan rambut pun tak boleh kata mereka. Tapi kenapa membuang kulit atau sebahagian kemaluan yang telah dilengkapkan oleh Tuhan sejak lahir tidak pula dianggap salah malah menjadi sunat yang diwajibkan?

Adakah orang Islam lebih cenderung mengikut ajaran para penggodam Injil dari mengikut Al-Quran yang ada di depan mereka? Mari kita lihat apa kata Injil mengenai bersunat.

Gen 17: 14. 1 3  “Mana-mana lelaki yang tidak bersunat kulit depan (kemaluan)nya mesti dipulaukan dari masyarakat kerana dia telah melanggar perjanjian. Ini adalah perjanjian tentang bersunat”.

Gen 17:24. 1  “Ibrahim telah berumur 90 tahun apabila dia bersunat kulit depan (kemaluan)nya”.

Gen 17:25. 18  “Dan Ismail anak lelakinya berumur 13 tahun apabila dia bersunat kulit depan (kemaluan)nya”.

Kita tidak akan menemui apa-apa ayat yang seperti itu di dalam Al-Quran. Fikir-fikirkanlah.

Written by tolokminda

February 6, 2010 at 6:26 am

Posted in Kehidupan Harian

Tagged with , ,

Cukur jambul menyekutukan Tuhan

with 31 comments

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya menginginkan anak. Mereka memohon kepada Tuhan supaya dikurniakan anak yang comel dan sempurna, sebagai cahayamata pengikat kasih dan sayang di antara mereka.

7:189 Dialah yang telah menjadikan kamu dari seorang dan menjadikan pasangannya dari jenis yang sama supaya dia tertarik kepadanya. Apabila mereka bersatu, dia (perempuan) menanggung beban yang ringan dan mengandung tanpa menyedarinya. Apabila ia berkembang menjadi semakin berat, mereka berdua memohon kepada Tuhan: “Jika Engkau kurniakan kami anak yang sempurna, kami berjanji akan berterima kasih”.

Dan apabila dimakbulkan oleh Tuhan niat serta doa mereka, dikurniakan kepada mereka seorang anak yang comel dan sempurna, maka mereka berasa amat gembira dan mereka pun mengadakan majlis kesyukuran untuk mengalu-alukannya.

Dan dalam konteks masyarakat Melayu, budaya mengadakan majlis kesyukuran menyambut kedatangan bayi memang sentiasa diberi perhatian dan amalannya dilaksanakan secara meluas. Mengikut latar geografi tertentu, amalan ini dinamakan cukur jambul atau berendoi dan ada juga yang memanggilnya “naik buaian”.

Antara acara yang terkandung dalam amalan cukur jambul adalah seperti berikut;

  • Menyembelih kambing atau lembu Aqiqah. Daging dimasak dan dimakan bersama-sama dalam kenduri tersebut.
  • Bacaan Barzanji atau Marhaban: satu bacaan salasilah dan pujian terhadap Nabi Muhamad.
  • Meletakkan bayi di dalam buaian yang dihias indah. Di bawah buaian diletakkan pisau corek dan kemenyan berasap.
  • Bayi didukung dan diarak berkeliling tetamu lelaki yang sedang membaca Barzanji di ruang anjung rumah.
  • Beberapa tetamu penting seperti datuk kepada bayi, imam, ketua kampung dan bomoh akan merestui dan mengusap jambul atau kepala bayi tersebut.

Sumber di sini

Dari kacamata Melayu kita, semua perkara mengenai majlis ini nampak baik dan mulia sekali. Menjadi kebanggaan seluruh keluarga. Bagaimana mungkin majlis kesyukuran menyambut kelahiran bayi yang amat dinanti-nantikan boleh menjadi suatu amalan yang tidak elok? Tuhan tentu merestui.

Malangnya Tuhan tidak berpendapat begitu. Di sisi Tuhan, inilah sebenarnya yang telah kita perbuat.

7:190 Tetapi apabila Dia mengurniakan seorang anak yang sempurna, mereka mengadakan sekutu-sekutu ke atas apa yang Tuhan telah kurniakan kepada mereka. Tetapi Tuhan Maha Tinggi dari semua sekutu yang mereka adakan terhadapNya.

7:91 Apa! Mereka mengada-adakan terhadapNya sekutu-sekutu yang tidak mampu mencipta apa pun melainkan mereka sendiri pun dicipta?.

7:192 Dan tidak ada bantuan yang boleh mereka berikan, tidak juga mereka boleh membantu diri mereka sendiri.

7:194 Sesungguhnya mereka yang kamu sebut di samping Tuhan adalah hamba seperti kamu. Oleh itu panggillah mereka dan biar mereka mendengar permohonan kamu kalau kamu benar!

7:195 Tidakkah mereka mempunyai kaki untuk berjalan? Atau tangan untuk memegang? Atau mata untuk melihat? Atau telinga untuk mendengar? Katakan: “Panggillah sekutu-sekutu Tuhanmu, berusahalah menentang aku, dan jangan beri aku sebarang penangguhan!

Masih tidak nampak apa yang dimaksudkan oleh Tuhan? Mari kita periksa semula senarai acara majlis cukur jambul atau berendoi atau naik buaian yang diamalkan dalam masyarakat melayu.

  • Menyembelih kambing atau lembu Aqiqah. Daging dimasak dan dimakan bersama-sama.

Soalan saya: Nama siapakah yang disebut ketika binatang aqiqah disembelih? Adakah semata-mata nama Tuhan? Atau ada nama lain? Kita dilarang makan daging haiwan yang disembelih atas nama selain dari Tuhan. Lagi pun amalan korban haiwan bukanlah dari ketetapan Tuhan. Tuhan kata dalam 22:34-37: “Daging dan darah tidak akan sampai kepadaNya tetapi kepatuhan (kepada ketetapan) dari kamu pasti akan sampai kepadaNya”.

  • Bacaan Barzanji atau Marhaban: satu bacaan salasilah dan pujian terhadap Nabi Muhamad.

Soalan saya: Apakah relevannya puji-pujian kepada Muhamad yang diutamakan dalam majlis ini? Nabikah yang telah mengurniakan anak itu kepada ibubapanya? Bukankah Tuhan sendiri telah menyuruh Nabi bantah perbuatan menyekutukan Tuhan dalam majlis kesyukuran menyambut kelahiran anak? Lihat apa yang Tuhan ajar kepada Nabi tentang perkara ini seperti yang dinyatakan dalam 7:195 – Katakan: “Panggillah sekutu-sekutu Tuhanmu, berusahalah menentang aku, dan jangan beri aku sebarang penangguhan!”

  • Meletakkan bayi di dalam buaian yang dihias indah. Di bawah buaian diletakkan pisau corek dan kemenyan berasap.

Soalan saya: Kenapa perlu letak pisau dan memperasap kemenyan? Tuhan tidak cukupkah sebagai pelindung?

  • Bayi didukung dan diarak berkeliling tetamu lelaki yang sedang membaca Barzanji di ruang anjung rumah. Beberapa tetamu penting seperti datuk kepada bayi, imam, ketua kampung dan bomoh akan merestui dan mengusap jambul atau kepala bayi tersebut.

Soalan saya: Bukankah mereka semua juga – pada hakikatnya – boleh dianggap tergolong dalam kategori sekutu-sekutu yang disebut dalam 7:191-195?

7:191 Apa! Mereka mengada-adakan terhadapNya sekutu-sekutu yang tidak mampu mencipta apa pun melainkan mereka sendiri pun dicipta?.

7:192 Dan tidak ada bantuan yang boleh mereka berikan, tidak juga mereka boleh membantu diri mereka sendiri.

7:194 Sesungguhnya mereka yang kamu sebut di samping Tuhan adalah hamba seperti kamu. Oleh itu panggillah mereka dan biar mereka mendengar permohonan kamu kalau kamu benar!

7:195 Tidakkah mereka mempunyai kaki untuk berjalan? Atau tangan untuk memegang? Atau mata untuk melihat? Atau telinga untuk mendengar? (Tuhan tidak perlu anggota atau deria seperti datuk, tok imam, penghulu, atau malah nabi sekalipun perlukan).

Cukur Jambul amalan warisan kaum jahiliah

Melalui ayat-ayat 7:189 – 195, kita boleh membuat kesimpulan bahawa amalan mengadakan majlis kesyukuran menyambut kelahiran anak seperti majlis cukur jambul dalam masyarakat Melayu bukanlah satu perkara baru. Malangnya dari zaman Arab jahiliah sampailah sekarang, ia kekal sebagai satu amalan songsang yang menyekutukan Tuhan.

Ironinya, sedangkan Al-Quran telah memberi petunjuk jelas bahawa Nabi sendiri pernah disuruh membantah amalan menyekutukan Tuhan melalui majlis meraikan kelahiran bayi di zamannya, hari ini Nabi pula telah dijadikan subjek penyekutuan yang paling diutamakan dalam acara seperti itu oleh umatnya sendiri.

Nampaknya benarlah kata Tuhan kepada Nabi melalui ayat yang amat mendalam maksudnya ini.

7:193, “Jika kamu menyeru mereka kepada pedoman, mereka tidak akan turut. Kepada kamu ia sama saja samada kamu menyeru mereka atau kamu berdiam diri”.

Begitulah buruknya sifat dan sikap manusia bila kita tidak mahu menerima pedoman Allah. Jelas sekali Tuhan amat mengenali kelakuan manusia. Cuma manusia saja yang gagal mengenali sifat dan sikap buruk mereka terhadap Pencipta mereka sendiri.

7:189 Dialah yang telah menjadikan kamu dari seorang dan menjadikan pasangannya dari jenis yang sama supaya dia tertarik kepadanya. Apabila mereka bersatu, dia (perempuan) menanggung beban yang ringan dan mengandung tanpa menyedarinya. Apabila ia berkembang menjadi semakin berat, mereka berdua memohon kepada Tuhan: “Jika Kamu kurniakan kami anak yang sempurna, kami berjanji akan berterima kasih”.

7:190 Tetapi apabila Dia mengurniakan seorang anak yang sempurna, mereka mengadakan sekutu-sekutu ke atas apa yang Tuhan telah kurniakan kepada mereka. Tetapi Tuhan Maha Tinggi dari semua sekutu yang mereka adakan terhadapNya.

Adakah kita mahu terus meniru amalan buruk kaum Jahiliah terhadap Tuhan apabila meraikan kegembiraan menyambut kelahiran anak-anak kita? Adakah kita tidak ada common sense?

Written by tolokminda

February 1, 2010 at 6:00 pm