Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Safa & marwah bukan nama bukit

with 32 comments

2:151 Sebagaimana Kami mengutuskan di antara kamu seorang utusan dari kalangan kamu sendiri, membacakan kepada kamu ayat-ayat Kami dan memurnikan kamu dan Dia mengajar kamu Kitab dan common sense. Dan Dia mengajar kamu apa yang kamu tidak ketahui.

2:152 Maka, kamu ingatilah Aku – Aku akan mengingati kamu dan berterimakasihlah kepadaKu dan jangan tidak percaya kepadaKu.

2:153 Wahai kamu yang percaya, mintalah pertolongan melalui daya tahan dan kesabaran dan berpeganglah kepada komitmen. Sesungguhnya Tuhan sentiasa bersama sesiapa yang sabar.

2:154 Dan jangan kata mereka yang terbunuh di jalan Tuhan itu mati – tidak, sesungguhnya mereka sentiasa hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.

2:155 Dan Kami sesungguhnya akan menguji kamu dengan sesuatu dari ketakutan dan kelaparan dan kekurangan dari kemakmuran – dan dari yang hidup dan bijirin. Berilah berita baik kepada mereka yang teguh dengan kesabaran.

2:156 Mereka yang apabila dilanda bencana – mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah milik Tuhan dan kepadaNyalah kami akan kembali.

2:157 Mereka adalah orang-orang yang mendapat restu dari Pemelihara mereka dan belas kasihan – dan mereka adalah orang-orang yang menerima petunjuk.

2:158 Sesungguhnya proses penyaringan – diffussion (alssafa) dan bebanan jiwa – anguish (waalmarwata) merupakan suatu ketetapan Tuhan. Oleh itu bagi sesiapa yang menyelidik (hajja) sistem ini atau jika mereka produktif, maka tidak salah bagi mereka membiasakan diri dengan kedua-duanya. Dan sesiapa yang membuat kebaikan secara sukarela maka sesungguhnya Tuhan menghargainya – dengan pengetahuan penuh.

2:159 Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan ayat-ayat Kami yang jelas dan petunjuk – selepas Kami menjelaskannya kepada orang-orang di dalam Kitab, merekalah yang dilaknat Tuhan dan laknat dari mereka yang berhak melaknat.

Saya melihat 2:151-159 merupakan satu dorongan supaya kita bergerak ke depan sebagai manusia yang cenderung melakukan penyelidikan atau hajj. Kepada mereka yang sudah pun berada dalam bidang itu, ia adalah berita baik buat mereka. Bagi yang belum melihat pandangan saya mengenai Hajj dan Umra, para pembaca budiman boleh memeriksanya di sini.

Berikut adalah pandangan saya terhadap ayat-ayat 2:151-159.

2:151 Sebagaimana Kami mengutuskan di antara kamu seorang utusan dari kalangan kamu sendiri, membacakan kepada kamu ayat-ayat Kami dan memurnikan kamu dan Dia mengajar kamu Kitab dan common sense. Dan Dia mengajar kamu apa yang kamu tidak ketahui.

Ayat 2:151 adalah supaya kita memikirkan hakikat bagaimana Tuhan mengutuskan seorang rasul yang telah membacakan KitabNya dan melalui Kitab itu Dia (Tuhan) mengajar kita sehingga kita beroleh common sense dan Dia (Tuhan) mengajar kita apa yang kita tidak ketahui.

2:152 Maka, kamu ingatilah Aku – Aku akan mengingati kamu dan berterimakasihlah kepadaKu dan jangan tidak percaya kepadaKu.

Kemudian dalam 2:152 Tuhan mengingatkan supaya kita berterima kasih kepadaNya dan jangan menjadi orang yang tidak percaya kepadaNya. Berterima kasih dan percaya kepada Tuhan maknanya kita harus memanfaatkan Kitab Tuhan itu dengan melakukan penyelidikan berdasarkan pelbagai petunjuk yang telah Tuhan berikan. Tanpa membuat penyelidikan kita tidak mungkin akan menjadi seorang yang memiliki common sense yang banyak yang pastinya akan memudahkan kita mendapat pengetahuan baru.

2:153 Wahai kamu yang percaya, mintalah pertolongan melalui daya tahan dan kesabaran dan berpeganglah kepada komitmen. Sesungguhnya Tuhan sentiasa bersama sesiapa yang sabar.

Dalam 2:153, Tuhan memberi tip kepada sesiapa yang percaya tentang cara untuk mendapat pertolongan atau kejayaan dalam apa jua usaha penyelidikan yang mereka lakukan. Tuhan menggariskan pertolongan adalah untuk mereka yang berdaya tahan, sabar dan komited. Tidak ada jalan lain untuk berjaya dalam sesuatu penyelidikan selain dari melalui proses berkenaan.

2:154 Dan jangan kata mereka yang terbunuh di jalan Tuhan itu mati – tidak, sesungguhnya mereka sentiasa hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.

Seterusnya 2:154, Tuhan menekankan bahawa mereka yang mati di jalan Tuhan – dalam konteks ayat-ayat ini, jalan Tuhan yang dimaksudkan adalah melakukan penyelidikan – sebenarnya tidak mati bahkan mereka sentiasa hidup. Hakikat ini hanya boleh kita gambarkan apabila kita faham apa yang sebenarnya berlaku apabila kita mati. Bahawa orang yang mati akan merasakan bahawa dia telah dihidupkan semula di akhirat effectively immediately selepas kematiannya boleh di baca dalam artikel saya di sini.

2:155 Dan Kami sesungguhnya akan menguji kamu dengan sesuatu dari ketakutan dan kelaparan dan kekurangan dari kemakmuran – dan dari yang hidup dan bijirin. Berilah berita baik kepada mereka yang teguh dengan kesabaran.

Dalam 2:155 Tuhan menyatakan bahawa Dia akan menguji kita dalam pelbagai aspek misalnya ketakutan kepada kelaparan atau kekurangan sumber makanan dari jenis yang hidup seperti tanaman mahupun ternakan dan juga dari jenis bijirin. Tetapi bagi mereka yang percaya kepada Tuhan dan berpegang kepada kesabaran, pasti ada berita baik kepada mereka – sudah tentu jika mereka melakukan penyelidikan seperti yang digalakkan oleh Tuhan.

2:156 Mereka yang apabila dilanda bencana – mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah milik Tuhan dan kepadaNyalah kami akan kembali.

Golongan penyelidik sebenarnya adalah golongan yang sentiasa menyerahkan diri mereka kepada Tuhan kerana mereka sedar bahawa pengetahuan yang mereka cari dan perolehi sebenarnya adalah milik Tuhan – termasuklah diri mereka sendiri. Bencana apa pun yang datang kepada mereka bukanlah satu masalah kerana mereka faham bagaimana alam ini berfungsi. Mereka tidak akan menyalahkan Tuhan atas sebarang musibah yang berlaku bahkan mereka akan mencari jalan bagaimana untuk mengatasinya.

2:157 Mereka adalah orang-orang yang mendapat restu dari Pemelihara mereka dan belas kasihan – dan mereka adalah orang-orang yang menerima petunjuk.

Orang-orang yang berilmu seperti inilah yang Tuhan restui dan beri belas kasihan. Mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

2:158 Sesungguhnya proses penyaringan (alssafa) dan bebanan jiwa yang kuat (waalmarwata) merupakan suatu ketetapan Tuhan. Oleh itu bagi sesiapa yang menyelidik (hajja) sistem ini atau jika mereka produktif, maka tidak salah bagi mereka membiasakan diri dengan kedua-duanya. Dan sesiapa yang membuat kebaikan secara sukarela maka sesungguhnya Tuhan menghargainya – dengan pengetahuan penuh.

Ayat 2:158 memberi kita satu perspektif yang amat menarik dan amat relevan dalam dunia penyelidikan. Tuhan memberitahu kita bahawa proses penyaringan – dalam usaha mencari apa yang benar atau relevan atau berguna, dsbnya (safa) dan bebanan jiwa yang kuat (marwah) merupakan suatu ketetapan Tuhan yang tidak boleh dielak dalam melaksanakan penyelidikan.

Tanyalah kepada mana-mana penyelidik, adakah mereka ada melalui dua keadaan yang disebutkan itu, saya pasti mereka akan mengesahkannya. Jadi, kepada para penyelidik atau mereka yang berminat untuk memulakan usaha itu, Tuhan kata – biasakanlah diri kepada kedua-duanya – iaitu safa (proses menyaring maklumat yang menjerihkan) dan marwah (bebanan jiwa yang kuat).

Tapi apalah sangat bersusah payah sedikit kerana Tuhan menjamin “sesiapa yang membuat kebaikan secara sukarela maka sesungguhnya Tuhan menghargainya – dengan pengetahuan penuh.” Bagaimana pula yang dimaksudkan dengan membuat kebaikan secara sukarela? Seperti Einstein – tidak ada siapa pun yang menyuruh beliau memikirkan tentang teori relativitinya.

Dan selepas ayat-ayat Tuhan yang jelas itu, maka sesiapa yang mensabitkan perkataan Safa dan Marwah dalam ayat 2:158 dengan dua buah bukit yang menempatkan berhala Arab kuno – Asaf /Na’ilah – dan kisah isteri Nabi Ibrahim sehingga melahirkan ritual berlari-lari yang tidak mendatangkan manfaat kepada sesiapa, maka Tuhan mengingatkan;

2:159 Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan ayat-ayat Kami yang jelas dan petunjuk – selepas Kami menjelaskannya kepada orang-orang di dalam Kitab, merekalah yang dilaknat Tuhan dan laknat dari mereka yang berhak melaknat.


Melihat relevan dan benarnya ayat 2:155 dalam dunia hari ini

2:155 Dan Kami sesungguhnya akan menguji kamu dengan sesuatu dari ketakutan dan kelaparan dan kekurangan dari kemakmuran – dan dari yang hidup dan bijirin. Berilah berita baik kepada mereka yang teguh dengan kesabaran.

Kita dapat melihat dengan mudah betapa relevan dan benarnya ayat 2:155 dalam konteks dunia hari ini. Sebenarnya ketakutan dan kelaparan atau kekurangan sumber – baik dari pelbagai hasil tanaman mahupun ternakan atau sumber makanan ruji seperti bijirin memang sentiasa menghambat ketamadunan manusia.

Kalau tidak kerana penyelidikan-penyelidikan yang dimajukan ke atas begitu banyak tanaman ataupun ternakan yang membolehkan produktiviti dipertingkatkan dan tuaian hasil dipercepatkan, tidak mungkin manusia mampu bertahan dengan apa yang disediakan secara semulajadi oleh Tuhan.

Hari ini kita makan beras yang padinya ditanam 3 kali setahun. Makan ayam yang hanya perlu diternak selama 30 hari. Minum air yang telah diproses dan sebagainya. Bayangkan kalau kita masih bergantung kepada padi tradisional, masih bergantung kepada ayam kampung, masih bergantung kepada air hujan. Bagaimana pula dengan masa depan apabila komuniti manusia bertambah dan berganda lagi?

Lihat sahaja negara-negara mundur yang tidak mengutamakan sebarang penyelidikan mahupun pembangunan – sering mengalami kekurangan dari pelbagai sumber. Kurang makanan, kurang air dan sebagainya. Sudah dibantu masyarakat antarabangsa pun masalah mereka tidak pernah selesai. Mereka tidak peduli berita baik dari Tuhan bahawa mereka boleh menyelesaikan masalah mereka dengan melakukan penyelidikan dan pembangunan. Mereka tidak teguh kepada kesabaran dalam hal ini.

Perang air?

Beberapa hari lepas sebuah blog yang saya ikuti menulis tentang potensi berlakunya perang berebut air di masa depan akibat kekurangan sumber utama kehidupan itu. Ini adalah yang saya maksudkan. Saya berpendapat hanya masyarakat bodoh saja yang akan berperang kerana berebut air. Dan lebih ironi apabila video-video yang mencadangkan kemungkinan berlakunya konflik seperti itu memaparkan orang-orang yang berjubah dan berserban belaka.

Saya berpendapat, air tidak perlu menjadi alasan untuk berperang. Air tidak pernah berkurang di dunia ini. Jumlah air bumi di zaman dinosaur sehingga sekarang sebenarnya tetap sama. Air tidak boleh dilenyapkan. Air boleh berubah bentuk – menjadi ais apabila terlampau sejuk atau menjadi wap apabila terlampau panas – tetapi apabila suhunya sesuai ia akan kembali menjadi air. Air juga tidak habis akibat digunakan. Ia hanya digunakan secara sementara dan akhirnya dikitar semula kerana fungsinya hanyalah sebagai medium dan bukan mengalami peluputan akibat proses penukaran bentuk yang tidak boleh dikembalikan sepertimana berlaku kepada sumber tenaga.

Satu ketika dulu, kita ketawa apabila negara jiran kita di selatan memperkenalkan Newater, iaitu air kitar semula yang diproses dari pelbagai sumber kumbahan domestik/industri. Dengan kata lain, air yang diproses itu diambil dari saluran longkang dan kumbahan najis. Kita kata, kotornya!

Sebenarnya kalau tidak melalui proses penurasan dan penyulingan berteraskan teknologi ciptaan manusia pun, air yang kita perolehi dari alam semulajadi tetap melalui proses yang sama. Cuma secara semulajadi prosesnya lambat sedikit. Air hujan yang turun dari awan itu pun kitaran semula dari air longkang, air kolam kumbahan, air kencing haiwan, air laut dan lain-lain.

Tidak ada siapa boleh menafikan bahawa air yang kita minum hari ini telah diminum juga oleh dinosaur, babi, gajah, anjing, manusia dan sebagainya. Ia juga telah digunakan oleh pokok-pokok dalam proses pertumbuhan mereka. Tanpa sebarang label, tidak ada beza air Newater dengan air bersih yang lain. Angkasawan di stesen angkasa antarabangsa misalnya, mengitar semula air buangan kumbahan mereka – tidak pula mereka mengalami sebarang masalah kerananya.

Jadi mengapa orang-orang berjubah dan berserban itu harus melihat peperangan sebagai jalan penyelesaian kepada masalah air sungai yang tidak cukup? Mengapa tidak lakukan penyelidikan dan pembangunan untuk memproses air bersih melalui kaedah kitar semula? Atau bina saja logi penyulingan air laut sepertimana yang dilakukan oleh Arab Saudi dalam memenuhi keperluan air negara dan perigi zam-zam mereka. Mengapa mahu teruskan cara hidup tradisi yang serba daif sedangkan Tuhan sudah pun memberi berita baik dan petunjuk jalan ke arah kemakmuran?

Written by tolokminda

January 16, 2011 at 2:55 am

32 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam,

    Jika air laut semakin mengering, memang logiklah menunjukkan bumi kekurangan air. Tetapi apa yang kita diberitahu, paras air laut semakin meningkat. Itu menunjukkan penduduk bumi masih mewah dengan air (tidak seperti di planet-planet kejiranan kita).

    Cuma taburan air hujan sahaja yang tak sekata. Ada tanah yang melimpah dengan air hujan seperti di Malaysia. Ada pula yang kekurangan hujan.

    Manusia tidak sepatutnya mengharapkan subsidi air daripada Tuhan sahaja (harapkan turunnya hujan). Dengan teknologi penyulingan air yang telah lama diketahui, sepatutnya negara seperti Somalia yang mempunyai pingiran laut yang luas tidak mempunyai masalah mendapatkan air kalau mereka adalah masyarakat yang suka berR&D.

    Israel adalah contoh masyarakat berR&D di mana mereka mengitarsemula air untuk kegunaan pertanian dan memproses air laut walaupun negara itu kekurangan taburan hujan. Tidak hairanlah mereka boleh survive biarpun di kelilingi oleh negara-negara Arab yang berjubah-serban itu.

    Di sini kita lihat, Allah bukan pandang pada besarnya serban di atas kepala manusia, tetapi betapa besarnya geliga di dalam kepala manusia itu. Sesiapa yang bergeliga otaknya untuk tahu menggunapakai sumber-sumber yang ada di sekeliling mereka tanpa hanya menunggu sahaja, pastilah akan lebih berjaya.

    Juang

    January 17, 2011 at 5:20 am

  2. Salam dan alhamdulillah.

    17:81. Dan katakanlah, “Yang benar telah datang, dan yang palsu telah lenyap; sesungguhnya yang palsu pasti lenyap.”

    I love my God.

    Azlan

    January 17, 2011 at 5:02 pm

  3. Salam Juang,

    Benar. Kalau Israel boleh mengapa Somalia tidak boleh? Takut air laut kering kalau disuling banyak-banyak?

    Air laut tidak akan kering kerana aktiviti penyulingan kerana akhirnya air yang disuling dan digunakan manusia, tanaman, ternakan atau hutan belukar sekalipun tetap akan kembali ke laut. Air bukan macam minyak atau karbohidrat yang digunakan melalui proses pembakaran dan tidak boleh dikembalikan dalam bentuk asalnya. Air tidak dibakar.

    Di dalam badan manusia air hanyalah medium untuk mengangkut pelbagai nutrient dan toxic. Begitu juga air dalam badan haiwan atau tumbuhan. Malah dalam logi turbin stim pun air hanya digunakan sebagai agen menukar tenaga. Selepas itu stim tetap kembali menjadi air.

    Air tidak pernah kurang. Tuhan telah melambakkan air yang begitu banyak di atas muka bumi ini. Bukan tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang belum cukup akal kerana sombong kepada petunjuk Tuhannya.

    tolokminda

    January 17, 2011 at 9:03 pm

  4. Salam Azlan,

    The Quran is so beautiful it must be from God.

    tolokminda

    January 17, 2011 at 9:17 pm

  5. Salam,

    Mengikut sumber di wikipedia jumlah pengeluwapan air (penyulingan secara semulajadi) bumi setahun adalah sekitar 505,000 km3. Ia bukan jumlah yang sedikit. Jika semua air yang terpeluwap atau tersuling itu tidak kembali ke bumi, tentulah tidak perlu masa yang lama untuk bumi ini kering kontang.

    Sekarang, pada umumnya manusia take for granted – berkongsi kitaran air sulingan semulajadi ehsan dari Tuhan yang berjumlah 505,000 km3 setahun ini dengan pengguna air lain seperti haiwan dan tumbuhan.

    Tapi manusiakan lebih bijak dari tumbuhan dan haiwan. Mengapa kita tidak suling air sendiri untuk kegunaan kita dan biarkan makhluk lain yang lebih lemah dari kita menggunakan air sulingan “subsidi” – mengikut istilah tuan Juang. Barulah benar-benar mesra alam.

    tolokminda

    January 17, 2011 at 9:41 pm

  6. Assalamualaikum…

    Tuan TM,

    1.Penafsiran Tuan terhadap ayat 2:158 sangat berbeza dgn apa yg diterjemahkan oleh terjemahan lain seperti terjemahan IIUM.

    2. Perkataan As-Safa dan Al-Marwata adalah berasal dari bahasa arab. Begitu juga perkataan Hajja, I’tamara dan An Yattawafa.

    3. Persoalan saya apakah sumber yg membawa Tuan menterjemahkan perkataan tersebut dengan makna-makna yg telah Tuan tampilkan.

    Sekian.

    Ahmad

    January 18, 2011 at 2:21 pm

  7. Salam Ahmad,

    Ada 2 ayat dari terjemahan 2:151-159 yang saya kemukakan di atas yang amat berbeza maksud dengan terjemahan IIUM iaitu 2:151 dan 2:158. Kita lihat ayat 2:151 dulu.

    Terjemahan saya:

    “Sebagaimana Kami mengutuskan di antara kamu seorang utusan dari kalangan kamu sendiri, membacakan kepada kamu ayat-ayat Kami dan memurnikan kamu dan Dia mengajar kamu Kitab dan Kebijaksanaannya. Dan Dia mengajar kamu apa yang kamu tidak ketahui.”

    Terjemahan IIUM:

    “(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”

    Perbezaan yang terdapat dalam 2 terjemahan di atas adalah tentang siapa yang mengajar Kitab dan kebijaksanaan dan perkara-perkara yang tidak kita ketahui sebelum ini. Menurut IIUM yang mengajar Kitab, Kebijaksanaan dan perkara-perkara yang tidak diketahui itu adalah Nabi.

    Saya pula berpendapat yang mengajar semua itu adalah Tuhan. Nabi hanya menyampaikan Al-Quran apabila ia diwahyukan melalui beliau. Nabi tidak mengajar. Apatah lagi sekarang ini Nabi sudah tidak ada. Mana mungkin dia mengajar kita Kitab dan kebijaksanaan ataupun perkara-perkara yang tidak diketahui.

    Rasional saya mudah saja. Misalnya ilmu mengenai spektrum elektromagnetik atau hukum aerodinamik. Dulu Nabi pun bukannya tahu tentang ilmu-ilmu itu. Tetapi sekarang kita tahu. Siapakah yang mengajarnya kepada kita? Tuhan atau Nabi? Tentulah Tuhan. Kerana Tuhanlah yang menjelaskan petunjukNya kepada sesiapa yang berusaha memahaminya tidak kiralah samada petunjuk itu di dalam Al-Quran atau yang terbentang luas di alam semesta.

    Ini selaras dengan ayat-ayat berikut.

    75:16 Jangan gerakkan lidahmu dengan terburu-buru terhadapnya.
    Transliterasi: La tuharrik bihi lisanaka litaAAjala bihi

    75:17 Kamilah yang mengumpulkannya dan membacakannya.
    Transliterasi: Inna AAalayna jamAAahu waquranahu

    75:18 Apabila Kami membacakannya, kamu ikutilah bacaannya.
    Transliterasi: Faitha qaranahu faittabiAA quranahu

    75:19 Kemudian Kamilah yang akan menjelaskannya.
    Transliterasi: Thumma inna AAalayna bayanahu

    Ayat-ayat terjemahan IIUM juga bercanggahan sesama sendiri. Satu ketika ia mengatakan berkiblatkan kaabah itu satu nikmat. Dalam ayat yang sama katanya Nabi membersihkan kita dari amalan syirik. Kalau bersih dari amalan syirik kenapa menyekutukan Tuhan dengan kiub batu buatan tangan manusia?

    Mari kita semak transliterasi untuk melihat samada perkataan kaabah ada disebut dalam 2:151.

    Transliterasi 2:151

    Kama arsalna feekum rasoolan minkum yatloo AAalaykum ayatina wayuzakkeekum wayuAAallimukumu alkitaba waalhikmata wayuAAallimukum ma lam takoonoo taAAlamoona

    tolokminda

    January 18, 2011 at 9:20 pm

  8. Assalamualaikum…

    1. Terima kasih atas penjelasan Tuan TM.
    2. Saya fikir penjelasan tersebut mgkn tidak menjawab soalan.
    3. Terjemahan ayat 2:151 adalah kesinambungan daripada terjemahan ayat 2:150. Perkataan “Kamaa” (sebagaimana) itu adalah mempunyai hubungkait dengan “Li Utimma” (iaitu menyempurnakan).
    4. Allah menyempurnakan nikmatnya dengan mengutuskan lagi Rasul.

    Ahmad

    January 19, 2011 at 8:18 am

  9. Assalamualaikum…

    Tuan TM menulis:

    “2:158 Sesungguhnya proses penyaringan – diffussion (alssafa) dan bebanan jiwa – anguish (waalmarwata) merupakan suatu ketetapan Tuhan.”

    Saya merujuk kepada terjemahan perkataan “difussion” dan terjemahkan ke dalam bhs Arab menggunakan google translate. Perkataan yg muncul :

    ” نشر /انتشار/ إسهاب/ إطناب ”

    tiada pula perkataan As-Safaa…

    begitu juga dgn terjemahan Tuan TM perkataan Al-Marwataa sebagai “anguish”. Terjemahan google menghasilkan perkataan berikut:

    “كرب / معاناة/ عذاب/ مبرح/ غم”

    Tiada juga perkata Al-Marwataa”…

    Persoalan saya sumber mana yg menjadi rujukan Tuan dalam menterjemahkan perkataan Arab berikut.

    Ahmad

    January 19, 2011 at 8:41 am

  10. Salam Ahmad,

    Mari kita semak ayat-ayat yang kita bincangkan bermula 2:142

    2:142 Yang bodoh di kalangan manusia akan bertanya: “Apa yang membuatkan mereka mengubah arah tumpuan di mana mereka berada?” Beritahu mereka: “Kepada Tuhan kepunyaan Timur dan Barat. Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan mereka yang patuh.”

    2:143 Dan begitulah kami menjadikan kamu umat yang diutamakan supaya kamu menjadi saksi kepada orang lain dan supaya rasul bersama kamu sebagai saksi. Dan Kami tidak menjadikan arah tumpuan yang kamu sendiri di atasnya – tetapi Kami tahu siapa yang akan menuruti rasul – dari mereka yang berpaling di atas tumit mereka. Sesungguhnya ia adalah berat kecuali kepada mereka yang telah diberi petunjuk oleh Tuhan. Dan Tuhan tidak akan mensia-siakan kepercayaan kamu. Sesungguhnya Tuhan Penyayang, Mengasihani manusia.

    2:144 Sesungguhnya Kami melihat kamu mengolah tumpuan kamu ke arah langit. Jadi kami palingkan kamu ke satu arah yang kamu sukai. Oleh itu tumpukan tumpuan kamu ke arah batasan ketetapan yang direstui (almasjidi alharami). Dan di mana pun kamu berada maka tumpukan perhatian kamu kepadanya. Dan sesungguhnya mereka yang telah kami berikan Al-Kitab pasti tahu yang ia sememangnya kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Tuhan tidak pernah gagal untuk memberi perhatian dari semua perbuatan mereka.

    2:145 Dan walaupun jika kamu membawa kepada mereka yang telah diberi Al-Kitab segala bukti – mereka tidak akan menurut arah tumpuan kamu – dan kamu – mestilah tidak menurut arah tumpuan mereka. Dan mereka (di antara umat penerima Al-Kitab) tidak menurut arah tumpuan satu sama lain. Dan jika kamu ikut ego mereka – dari apa yang telah sampai ke pengetahuan kamu – sesungguhnya kalau kamu buat begitu – kamu akan tergolong dalam golongan orang-orang yang zalim.

    2:146 Mereka yang telah Kami berikan Al-Kitab – mereka mengenalinya sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri. Sebenarnya ramai di kalangan mereka – tetapi mereka menyembunyikan kebenarannya – dan mereka tahu dengan sebenar-benarnya.

    2:147 Kebenaran adalah dari Tuhan kamu, jadi elakkan dari menjadi mereka yang ragu-ragu.

    2:148 Dan setiap orang adalah tumpuannya sendiri. Maka kamu harus berlumba ke arah kebaikan – setiap masa dan di mana saja kamu berada Tuhan akan meletakkan kamu di hadapan, semua kamu bersama-sama. Sesungguhnya Tuhan mengatasi setiap apa saja – sangat jitu.

    2:149 Dan dari mana pun kamu pergi – maka kamu harus tumpukan kepada batasan ketetapan yang telah direstui (masjidilharam). Dan sesungguhnya ia adalah kebenaran dari Tuhan kamu dan Tuhan tidak akan gagal untuk memberi perhatian kepada apa saja perbuatan kamu.

    2:150 Dan dari mana pun kamu pergi maka kamu harus tumpukan ke arah batasan ketetapan yang direstui. Dan di mana pun kamu berada tidak ada manusia yang akan mencabar kamu kecuali yang zalim di antara mereka. Oleh itu janganlah takut kepada mereka sebaliknya takutlah kepada Aku supaya Aku menyempurnakan nikmatKu – supaya kamu diberi petunjuk.

    2:151 Sebagaimana Kami mengutuskan di antara kamu seorang utusan dari kalangan kamu sendiri, membacakan kepada kamu ayat-ayat Kami dan memurnikan kamu dan Dia mengajar kamu Kitab dan Kebijaksanaannya. Dan Dia mengajar kamu apa yang kamu tidak ketahui.

    2:152 Maka, kamu ingatilah Aku – Aku akan mengingati kamu dan berterimakasihlah kepadaKu dan jangan tidak percaya kepadaKu.

    2:153 Wahai kamu yang percaya, mintalah pertolongan melalui daya tahan dan kesabaran dan berpeganglah kepada komitmen. Sesungguhnya Tuhan sentiasa bersama sesiapa yang sabar.

    2:154 Dan jangan kata mereka yang terbunuh di jalan Tuhan itu mati – tidak, sesungguhnya mereka sentiasa hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.

    2:155 Dan Kami sesungguhnya akan menguji kamu dengan sesuatu dari ketakutan dan kelaparan dan kekurangan dari kemakmuran – dan dari yang hidup dan bijirin. Berilah berita baik kepada mereka yang teguh dengan kesabaran.

    2:156 Mereka yang apabila dilanda bencana – mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah milik Tuhan dan kepadaNyalah kami akan kembali.

    2:157 Mereka adalah orang-orang yang mendapat restu dari Pemelihara mereka dan belas kasihan – dan mereka adalah orang-orang yang menerima petunjuk.

    2:158 Sesungguhnya proses penyaringan – diffussion (alssafa) dan bebanan jiwa – anguish (waalmarwata) merupakan suatu ketetapan Tuhan. Oleh itu bagi sesiapa yang menyelidik (hajja) sistem ini atau jika mereka produktif, maka tidak salah bagi mereka membiasakan diri dengan kedua-duanya. Dan sesiapa yang membuat kebaikan secara sukarela maka sesungguhnya Tuhan menghargainya – dengan pengetahuan penuh.

    2:159 Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan ayat-ayat Kami yang jelas dan petunjuk – selepas Kami menjelaskannya kepada orang-orang di dalam Kitab, merekalah yang dilaknat Tuhan dan laknat dari mereka yang berhak melaknat.

    Jika tuan Ahmad baca keseluruhan ayat yang 2:142-159 sebenar tuan akan dapat melihat bahawa kiblat atau arah tumpuan yang Tuhan tetapkan tidak ada kena mengena dengan arah tertentu di bumi – misalnya arah timur atau barat – Tuhan kata timur dan barat semua milik Tuhan. Jadi tidak faedah bagi kita kata mesti mengadap situ dan sini (2:142). Hanya orang bodoh saja yang mengambil kepercayaan berkiblatkan sesuatu arah.

    Kemudian dalam 2:143 Tuhan beri satu lagi clue iaitu “Dan Kami tidak menjadikan arah tumpuan yang kamu sendiri di atasnya”. Maknanya arah tumpuan yang disuruh supaya kita ikut bukan sesuatu yang terletak di atas sesuatu lokasi di bumi ini.

    Tetapi arah tumpuan itu pasti dapat diterima atau diakui secara universal walaupun umat-umat yang pernah sampai kepada mereka Kitab-Kitab Tuhan tidak mahu mengakuinya kerana ego masing-masing.

    2:146 Mereka yang telah Kami berikan Al-Kitab – mereka mengenalinya sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri. Sebenarnya ramai di kalangan mereka – tetapi mereka menyembunyikan kebenarannya – dan mereka tahu dengan sebenar-benarnya.

    Tetapi Tuhan menjamin jika kita tumpukan kepada kebenaran yang telah Tuhan tunjukkan, tidak ada siapa boleh mencabar kita kecuali dari kalangan mereka yang zalim (2:150).

    Jadi apakah yang Tuhan mahu kita jadikan tumpuan sebenarnya? Apakah itu masjidilharam? Masjidilharam pada pendapat saya bermaksud batasan ketetapan yang direstui. Secara umumnya ia adalah seluruh alam ini.

    Dengan kata lain Tuhan menyuruh kita menumpukan kepada apa juga ilmu yang dihamparkan di hadapan kita. Jadi pada dasarnya ia adalah berkaitan dengan usaha memahami dan menyelidik juga. Sebab itulah Tuhan buka soal tumpuan (kiblat) ini kepada diri masing-masing – maksudnya berusahalah mendapatkan ilmu mengikut kemampuan masing-masing. Yang penting semua orang perlu berlumba membuat kebaikan dari potensi diri yang telah Tuhan bekalkan dan pastinya sesiapa yang berdedikasi ke arah itu Tuhan akan letakkan di hadapan.

    2:148 Dan setiap orang adalah tumpuannya sendiri. Maka kamu harus berlumba ke arah kebaikan – setiap masa dan di mana saja kamu berada Tuhan akan meletakkan kamu di hadapan, semua kamu bersama-sama.

    Memang benarlah. Dalam dunia hari ini sesuatu bangsa dan seseorang individu yang mempelopori ilmu memang berada di barisan hadapan di mana-mana pun.

    Sekarang kita tahu bahawa menumpukan perhatian kepada batasan ketetapan yang direstui Tuhan yang terhampar di alam ini – bukan kepada bangunan batu – adalah kunci kepada kejayaan manusia baik di mata manusia bahkan di mata Tuhan juga. Begitulah juga jika kita menggunakan Al-Quran sebagai petunjuk. Sebenarnya samada kita menggunakan petunjuk Tuhan di alam terbuka mahupun menggunakan petunjuk yang Tuhan disampaikan melalui KitabNya, kita masih boleh mendapat hasil yang sama.

    Inilah intipati yang saya faham dari ayat-ayat 142-159.

    Penjelasan pendapat saya ini mungkin tidak sebaik mana, saya harap tuan Ahmad masih mampu menangkap apa yang saya cuba sampaikan.

    tolokminda

    January 19, 2011 at 9:34 am

  11. Salam Ahmad,

    Bukan saja perkataan As-Safa atau Al-Marwata yang tuan tidak akan temui terjemahan yang saya kemukakan dalam blog ini melalui mana-mana kamus. Banyak lagi perkataan lain pun sama. Misalnya perkataan solaa, zakaa, hajj dsbnya. Tuhan kata Al-Quran itu adalah petunjuk, penjelas dan pembeza.

    Maknanya selain dari memberi petunjuk ayat-ayat Quran sebenarnya mampu menjelaskan sesama sendiri dan dapat membantu kita membezakan samada dakwaan dari luar Al-Quran itu salah atau benar. Tidak ada percanggahan dalam ayat-ayat Tuhan. Keharmonian adalah salah satu petunjuk kepada kebenaran.

    Saya melihat keindahan dan kebenaran Al-Quran dengan kaedah ini. Dan hasilnya saya benar-benar yakin bahawa Al-Quran itu Kitab Tuhan yang sebenar – tiada keraguan mengenainya.

    tolokminda

    January 19, 2011 at 9:49 am

  12. Assalamualaikum…

    Tuan TM,

    Terima kasih atas penerangan yang Tuan berikan.

    1. Pada pandangan saya, penguasaan bahasa Arab adalah perlu bagi memastikan pemahaman yg benar tentang maksud ayat Al-Quran.

    2. Ini bertepatan dgn ayat 12:2 : “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya. ”

    3. Al-Quran itu diturunkan di dalam bahasa Arab. Sesuai dengan ayat 20:113 “Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka.

    4. Begitu dgn ayat 13:37, 39:28, 41:3, 42:7, 43:3 dan 46:12.

    5. Allah berulangkali menerangkan bahawa Al-Quran diturunkan di dalam bahasa Arab.

    6. Pada pendapat saya ini menunjukkan pentingnya bahasa Arab dalam memahami Al-Quran.

    Ahmad

    January 19, 2011 at 11:32 am

  13. Salam Ahmad,

    Ya. Kerana adanya Al-Quran dalam bahasa Arablah saya faham Al-Quran sebagaimana saya faham sekarang. Walaupun saya tidak tahu berbahasa Arab dan terpaksa merujuk kepada pelbagai sumber terjemahan – akhirnya transliterasi (Arab diromankan) tetap saya gunakan sebagai perbandingan sebelum mengambil apa-apa keputusan.

    Sebenarnya saya tidak mendakwa bahawa kefahaman saya terhadap sesuatu perkataan atau ayat Quran mesti betul. Ia mungkin salah atau kurang tepat. Tetapi saya terpaksa menggunapakai cara atau formula yang saya sendiri fikir sesuai kerana terjemahan-terjemahan atau tafsiran-tafsiran yang sedia ada tidak membuka minda saya kepada keindahan Al-Quran. Saya tidak ada masalah jika tuan nampak dan mahu membetulkan mana-mana kesalahan saya.

    Tentang bahasa Arab, saya berpendapat mahir dalam bahasa Arab atau lahir sebagai orang Arab bukanlah satu faktor dalam memahami Al-Quran. Kita dapat lihat dengan jelas hari ini orang Arab sendiri pun tidak faham Al-Quran sehingga menjadi pelopor kepada pelbagai amalan syirik di samping tidak berbudaya positif atau berilmu. Budaya mereka jelas bertentangan dengan mesej-mesej yang terkandung di dalam Al-Quran.

    Sebenarnya masalah tidak memahami atau menolak Kitab Tuhan dalam bahasa bangsa sendiri bukan berlaku kepada orang Arab saja. Sebelum Al-Quran, Kitab Tuhan diwahyukan dalam bahasa-bahasa lain, tetapi bangsa yang menerimanya majoritinya tetap tidak faham dan menolak juga.

    tolokminda

    January 19, 2011 at 7:44 pm

  14. Assalamualaikum…

    Terima kasih atas penerangan Tuan… Pemahaman Tuan terhadap Al-Quran adalah dari dimensi yg sangat berbeza. Ianya adalah perbincangan yg menarik.

    Ahmad

    January 20, 2011 at 1:07 pm

  15. Salam,

    Untuk mencari penterjemahan yang terbaik, sesuatu perkataan Arab yang dimaksudkan itu perlu diuji pada ayat-ayat Al Quran yang lain. Jika wujud percanggahan dengan ayat-ayat lain, itu menunjukkan maksud perkataan Arab itu tidak tepat.

    Contohnya seringkali perkataan “solat” diterjemahkan sebagai sembahyang ritual yang mempunyai sujud mengadap batu.

    41:37. Dan daripada ayat-ayat-Nya adalah malam dan siang, dan matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan bulan, tetapi sujudlah kepada Allah yang mencipta mereka, jika Dia kamu sembah.

    Tetapi bila kita uji dengan ayat seperti 41:37 di atas, adalah tidak tepat mengatakan solat adalah amalan sujud ke arah batu. Ini kerana sujud ke arah matahari (unsur api) dan bulan (unsur batu) pun telah dilarang walhal matahari dan bulan itu diciptakan oleh tangan Allah sendiri. Jadi, mana mungkin bersujud ke arah batu boleh diperintahkan oleh Tuhan?

    Juang

    January 22, 2011 at 9:39 am

  16. Salam TM,

    Satu yang menarik kita renungkan, walaupun air merupakan mineral terpenting bagi manusia dan hidupan di muka bumi, tetapi Allah tidak pernah suruh manusia jadikan air sebagai perantaraan sujud kepadaNya. Jadi kenapa ada manusia jadikan batu sebagai perantaraan bagi Allah sedangkan batu itu tidak mendatangkan banyak manfaat malah tidak mendatangkan mudarat kalau kita tidak menyembahnya?

    Juang

    January 22, 2011 at 9:48 am

  17. Assalamualaikum…

    Terima kasih atas pandangan Tuan Juang,

    1. Pada pandangan saya, berdasarkan konsep blog ini, penafisran seseorang berbeza dgn yg lain.

    2. Mengikut pandangan Tuan Juang “penterjemahan yang terbaik, sesuatu perkataan Arab yang dimaksudkan itu perlu diuji pada ayat-ayat Al Quran yang lain”.

    3. Benar. Namun, sekiranya ianya diuji dgn ayat lain, Tuan memahaminya dgn fahaman Tuan dan saya memahaminya dgn fahaman saya.

    4. Sebagai contoh perkataan “Al-Bait” atau Rumah.
    Saya memahaminya berdasarkan ayat dibawah:

    51:35
    (Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.
    51:36
    (Sesudah dipereksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah “RUMAH” sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut)

    5. Begitu juga dengan ayat 17:93:
    “Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah “RUMAH” terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya”. Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?”

    6. Dan begitu juga dengan kisah Nabi Musa 28:12:

    “Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: “Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah “RUMAH” yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

    7. Pada saya, adalah sukar utk memastikan tafsiran terdahulu adalah sebuah konspirasi sepertimana yg di dakwa oleh Aidid Safar.

    Ahmad

    January 24, 2011 at 10:19 am

  18. Sikit lagi… hehe..

    Sebagai contoh Tuan TM menulis pd artikel lalu:

    “3:96 Sesungguhnya SISTEM pertama yang ditetapkan kepada manusia adalah keyakinan, direstui dan pedoman kepada berbagai bangsa.”

    Namun sekirany kita compare dengan ayat :

    “17:93: Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah “RUMAH” terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya”. Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?”

    Ianya membawa terjemahan yg kurang tepat.

    Begitu juga dgn ayat:

    51:36 : (Sesudah dipereksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah “RUMAH” sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut)

    Begitu juga dgn ayat

    28:12: Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: “Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah “RUMAH” yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

    Kesimpulan saya: Penterjemahan perlu kembali kepada bahasa asal disamping ditafisran dgn elemen-elemen yang membantu memahami Al-Quran.

    Ahmad

    January 24, 2011 at 10:33 am

  19. Kseimpulannya:

    Berdasarkan ayat 3:96, 17:93 dan 28:12 perkataan Bait atau Al-Bait lebih tepat diterjemahkan sebagai rumah dan bukannya sistem…

    Ahmad

    January 24, 2011 at 10:38 am

  20. Salam Ahmad,

    Saya berpegang kepada Tuhan, bahawa apabila kita membaca Al-Quran, Tuhanlah yang akan menjelaskannya kepada kita. Oleh itu saya tidak ada masalah dengan perbezaan tafsiran asalkan kita faham perkara-perkara asas seperti apa yang dimaksudkan dengan menyekutukan Tuhan atau apa yang dimaksudkan dengan mengabdikan diri kepada Tuhan.

    Berbalik kepada perkataan bayt – saya lebih selesa ia ditafsirkan sebagai sistem sebagaimana dihujahkan Aidid Safar. Walaupun begitu ia mungkin masih bukan perkataan yang paling sesuai untuk memahami bayt. Mungkin ada perkataan yang lebih sesuai atau lebih betul. Saya harap kebenaran akan ditemui akhirnya.

    Satu contoh di mana saya tidak menurut Aidid Safar adalah perkataan hajj. Aidid Safar mentafsirkannya sebagai cabaran. Saya mentafsirkannya sebagai penyelidikan. Saya mempunyai alasan saya sendiri untuk memahami sedemikian dan saya sudah kongsi mengenainya dalam blog ini.

    Saya berpendapat Tuhan tidak melarang kita memahami Al-Quran dengan cara kita sendiri asalkan ia berasaskan hujah yang boleh dinilai atau diverifikasi oleh setiap orang melalui sumber-sumber yang direstui oleh Tuhan. Matlamat kita bukanlah menjadi seorang keras kepala, tetapi menjadi seorang yang bersama-sama ke arah mencari kebenaran.

    Tuhan telah menjadikan Ibrahim sebagai contoh.

    2:124 Dan bila Tuhannya menguji Ibrahim dengan perkataan-perkataan tertentu dia menyempurnakannya…

    Jadi sama-samalah kita berusaha memahami perkataan-perkataan Tuhan satu persatu tanpa bergantung sepenuhnya kepada sesuatu pihak sahaja.

    tolokminda

    January 24, 2011 at 12:46 pm

  21. Ye Tolokminda, begitu juga Puteri yang masih baru dalam mentelaah maksud Al-Quran ni, dalam merangkak-rangkak merujuk kepada berbagai rujukan yang saya tercapai, Puteri mendapati “Hajj” boleh juga diterjemahkan sebagai berhujah macam yang biasa kita lihat peguam berhujah dalam mahkamah. Baru-baru ini, saya dapati perkataan “Umra” juga boleh diterjemahkan kepada “decriptive/penjelasan”, maka Putei dapati ianya masih lagi relevan dalam rantaian perkara yang pernah Puteri post kat dalam blog Puteri di bawah tajuk “tatacara berhujah”. Jadi, Puteri dah tarik balik terjemahan Puteri yang lama untuk Puteri kemaskini kan agar dapat diperbetuli oleh sahabat-sahabta yang lebih arif.

    Puteri bersyukur bila Puteri paparkan di blog terjemahan Puteri tu selama hampir setahun, muncul beberapa individu yang cukup ikhlas membantu Puteri membaca nahu dan makna perkataan untuk Puteri perbaiki. Akhirnya setelah dihujahkan, Puteri bersetuju akan suatu terjemahan yang lebih make-sense. Itulah baiknya kita berkongsi, kan TM?

    Terjemahan TM tentang “Hajj” dan “Umra” serta “Saffa” dan “Marwa” juga masuk akal. Jadi, ini menunjukkan kehebatan Quran itu yang boleh dilihat menurut perkspektif yang berbeza oleh individu-individu tertentu menurut persekitaran dan pengalaman hidupnya. Setiap terjemahan yang dikatakan make-sense pun biasanya kita nilaikan berdasarkan pengalaman kehidupan individu, yang bukan meliputi seluruh manusia dan seluruh alam.

    Puteri

    January 24, 2011 at 1:44 pm

  22. Salam,

    29:41. Persamaan orang-orang yang mengambil untuk mereka wali-wali (pelindung-pelindung), selain daripada Allah, ialah seperti persamaan labah-labah betina yang mengambil untuknya sebuah rumah (baita) ; dan sesungguhnya yang paling lemah antara rumah-rumah (buyut) ialah rumah (baitu) labah-labah betina, jika mereka mengetahui.

    Dalam ayat ini menunjukkan “bait” adalah sebuah rumah dan buyut adalah rumah-rumah.

    Juang

    January 26, 2011 at 8:28 pm

  23. Salam Juang,

    Saya berpendapat sebuah rumah (singular) adalah buyutan dan rumah-rumah (plural) adalah buyutin. Jika tuan semak perkataan bayt, ia cenderung merujuk kepada suatu bentuk sistem.

    Misalnya untuk ayat 29:41 yang tuan kemukakan itu saya melihat Tuhan menggunakan analogi labah-labah di dalam sistem – sistem yang dimaksudkan dalam konteks ayat ini adalah sistem ekologi – di mana di dalam sistem ekologi rumah labah-labah adalah rumah yang paling lemah.

    Dengan kata lain, saya melihat perkataan albayta merujuk kepada suatu sistem yang umum dan konteks sistem yang dimaksudkan itu boleh kita tafsirkan melalui konteks ayat.

    tolokminda

    January 26, 2011 at 9:43 pm

  24. Salam TM,

    Pada pendapat saya, istilah “buyut” memang merujuk sebagai tempat penginapan/kediaman manusia seperti contoh ayat di bawah ini.

    16:80. Dan Allah membuatkan satu tempat rehat bagi kamu daripada rumah-rumahmu (buyutikum), dan membuatkan untuk kamu, daripada kulit-kulit binatang ternak, rumah-rumah (buyutan), yang kamu mendapati ringan pada hari perjalanan kamu dan pada hari kamu menetap, dan daripada bulu-bulu mereka (biri-biri), dan bulu-bulu mereka (unta atau kambing), dan daripada rambut mereka, perkakas rumah tangga dan kesenangan untuk satu waktu.

    Tetapi perkataan “bait” lebih sesuai dikaitkan tempat/sistem yang dapat melindungi. Melindungi diri daripada ketakutan untuk mencapai kedamaian (Islam). Sebab itu dalam ayat 28:12, disebut “ahli bait” iaitu orang yang boleh melindungi Musa ketika masih bayi itu agar tenang hati si ibu.

    Kemudian ayat 2:125 mengaitkan “bait” sebagai tempat yang aman. Oleh kerana tempat yang aman ini terdapat di merata tempat di dunia jika masyarakatnya bukan jenis suka berpecah-belah, secara logiknya “bait” itu bukannya bangunan kiub batu di Mekkah, ia boleh jadi satu tempat yang luas bergantung tahap kesedaran masyarakatnya.

    Lainlah hanya di kiub batu itu sahaja keamanan mampu dicapai dan di tanah lain, manusia semuanya hidup berperang sesama sendiri, logiklah dikatakan kiub batu itu “bait”

    Juang

    January 27, 2011 at 2:18 am

  25. Salam Juang,

    Saya setuju kalau bayt itu dirujuk kepada sebuah sistem perlindungan atau sistem kehidupan. Tetapi mengatakan bayt sebagai kiub batu di Mekah memang tidak berasas sama sekali.

    tolokminda

    January 27, 2011 at 2:49 am

  26. Salam TM,

    “Bait” yang dimaksudkan sebagai kiub batu di Mekah itulah “bait” labah-labah betina yang diumpamakan dalam ayat 29:41. Ini kerana orang-orang menjadikan sesuatu objek sebagai perantaraan dengan Allah kerana mereka mengambil wali-wali selain Allah iaitu ulamak agama atau imam-imam mazhab mereka sebagai sekutuNya. Wali-wali itulah yang suruh mereka bersujud kepada kiub batu tersebut.

    Seandainya mereka tidak pernah disuruh sujud kepada kiub batu itu, sudah pasti common-sense mereka pun tak tergamak nak buat amalan macam itu.

    Juang

    January 27, 2011 at 3:41 am

  27. Apakah perkataan “auliyaa” dalam Q29:41 itu bermaksud ‘wali-wali” yang dalam bahasa Melayu kita fahami sebagai pewakil-pewakil macam wali nikah contohnya? Atau apakah ia bermaksud “pelindung-pelindung” yang mana kebanyakan manusia yang kita lihat sejak dulu sampai sekarang suka berlindung kepada penguasa/pemerintah?

    Puteri

    January 27, 2011 at 8:50 am

  28. Salam Puteri,

    Saya berpendapat siapa pun boleh dianggap “wali” yang dimaksudkan dalam 29:41 asalkan dia termasuk dalam golongan yang boleh dianggap sekutu kepada Tuhan.

    tolokminda

    January 27, 2011 at 5:05 pm

  29. Jadi perkataan “auliyaa” dalam ayat tu bermaksud ‘pewakil-pewakil’ atau ‘pelindung-pelindung’?

    Puteri

    January 28, 2011 at 1:03 am

  30. Salam Puteri,

    Saya cadangkan Puteri semak sendiri perkataan wali yang terdapat dalam beberapa ayat dan fikirkan apakah maksud yang sesuai. Pada pendapat saya sesiapa saja yang boleh dianggap sebagai wali kepada seseorang atau sesuatu pihak, tidak bermakna dia adalah wali yang baik sebagaimana yang dianggap oleh orang Islam secara umum – iaitu bila kata wali mesti baik atau hebat atau dekat dengan Tuhan. Jika kita lihat petunjuk Tuhan, ia tidak semestinya begitu. Berikut adalah antara ayat-ayat yang boleh Puteri semak:

    2:282, 3:28, 4:144, 10:62, 19:5

    tolokminda

    January 28, 2011 at 10:19 am

  31. Tkasih…

    Puteri

    January 29, 2011 at 2:16 pm

  32. Thanku so much

    Jagundul

    March 30, 2011 at 8:39 pm


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: