Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for February 2010

Masjid bermaksud ketetapan yang direstui

with 40 comments

Pada umumnya umat Islam percaya perkataan masjid atau masajid membawa maksud sebuah bangunan yang dibina dan didedikasikan sebagai “rumah Tuhan” supaya kita boleh menggunakannya untuk melakukan amalan ritual tertentu seperti solat berjemaah, mendengar ceramah dan sebagainya. Kononnya beribadat “di rumah Tuhan” adalah lebih baik dan Tuhan akan memberi ganjaran lebih besar.

Tetapi benarkah Tuhan menyuruh kita membina “rumah” untukNya di atas muka bumi ini? Hasil semakan saya, tidak ada satu ayat pun di dalam Kitab itu yang menyuruh kita membina masjid.  Kepercayaan bahawa perkataan masjid dirujuk kepada rumah ibadat atau rumah Tuhan tidak mempunyai sebarang asas. Konotasi bahawa kita digalakkan melakukan sesuatu amalan di masjid juga tidak ditemui di dalam Al-Quran.

Saya percaya perkataan masjid atau masajid di dalam Al-Quran bukan bermaksud rumah Tuhan atau rumah ibadat untuk orang Islam. Yang nyata hanya golongan penyekutu Tuhan saja yang mempunyai kegilaan membina rumah untuk tuhan-tuhan mereka. Tuhan yang sebenar tidak perlu rumah. Orang-orang yang percaya kepada Tuhan yang sebenar tidak perlu membina  sesuatu untuk disekutukan dengan Tuhan mereka.

Tuhan bukan macam wakil rakyat yang perlu kepada kemudahan atau premis tertentu sebagai pusat khidmat untuk mendengar masalah para pengundi. Tuhan merangkumi dan mengetahui segala ciptaanNya. Siapa kita untuk menyekutukan Tuhan dengan bangunan yang kita sendiri membinanya? Biar berapa mahal dan besar pun bangunan yang kita bina dalam ukuran dan perspektif kita, adakah Tuhan memerlukannya?

Saya berpendapat, tidak sekali-kali!

Oleh itu mari kita periksa apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh beberapa perkataan berkaitan masjid yang terdapat di dalam Al-Quran dengan contoh-contohnya sekali.

1.  Masjid

Perkataan masjid bukan bermaksud rumah Allah atau rumah ibadat orang Islam, tetapi ia merujuk kepada sesuatu “ketetapan yang direstui” yang disebut atau dinyatakan secara khusus. Misalnya;

2:187 Pada malam berpuasa, kamu dibenarkan bermesra dengan isteri-isteri kamu. Mereka adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian mereka. Tuhan tahu kamu juga membuat kesilapan, dan Dia telah menebus kamu dan mengampunkan kamu; sekarang khabarkan kepada mereka berita baik ini dan teruskan mendalami apa yang Tuhan perintahkan kepada kamu dan cernakanlah ia sehingga jelas kepada kamu sebagaimana benang putih boleh dibezakan dengan benang hitam di waktu subuh, kemudian teruskan berpuasa sehingga ke malam. Dan jangan kamu bergaul dengan mereka (isteri-isteri) ketika kamu sedang berada di dalam ketetapan yang telah direstui (almasajidi) ke atas kamu. Inilah batasan-batasan Tuhan, jadi jangan dekati mereka. Begitulah Tuhan menjelaskan wahyu-wahyunya kepada para lelaki supaya mereka meneliti.

Masjid atau ketetapan yang direstui dalam ayat di atas merujuk secara khusus kepada melaksanakan puasa. Berpuasa untuk memperkukuhkan diri sewaktu membuat penyelidikan terhadap Al-Quran merupakan salah satu ketetapan yang direstui oleh Tuhan.

2.  Masjidilharam

Perkataan ini bukan bermaksud sebuah masjid besar di mana terletaknya Kaabah di Mekah tetapi ia bermaksud “batasan ketetapan yang direstui”. “Batasan ketetapan yang direstui” merujuk kepada semua ketetapan yang direstui Tuhan yang dilihat secara menyeluruh. Mematuhi batasan ketetapan yang direstui akan mengekang seseorang dari termasuk ke dalam golongan mereka yang melampaui batas.

2:144 Sesungguhnya kami nampak kamu mengolah tumpuan kamu ke arah langit. Jadi kami palingkan kamu ke satu arah yang  kamu sukai. Oleh itu tumpukan tumpuan kamu ke arah batasan ketetapan yang direstui (almasjidi alharami). Dan di mana pun kamu berada maka tumpukan perhatian kamu kepadanya. Dan sesungguhnya mereka yang telah kami berikan Al-Kitab pasti tahu yang ia sememangnya kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Tuhan tidak pernah gagal untuk memberi perhatian dari semua perbuatan mereka.

3.  Masjidilaqsa

Perkataan masjidil aqsa bukan bermaksud sebuah masjid yang terletak di Jurusalem tetapi ia membawa maksud dalam lingkungan ketetapan yang direstui. Perkataan ini digunakan dalam 17:1.

17:1 “Pujian adalah untuk Yang Satu yang telah memukau hambaNya pada satu malam dari batasan ketetapan yang direstui (almasjidi alharami) ke arah lingkungan ketetapan yang direstui (almasjidi alaqsa), yang mana ia diberkati, supaya dapat diperlihatkan kepadanya mukjizat-mukjizat Kami. Sesungguhnya Dia Mendengar dan Melihat”.

Semasa Nabi Musa bertemu Tuhan pada satu malam buat pertama kali di mana dia terpukau dengan mukjizat-mukjizat yang diterimanya, Nabi Musa belum lagi dilantik menjadi rasul. Maka itu kedudukan beliau masih lagi dalam batasan ketetapan yang direstui (masjidilharam). Tetapi dengan penerimaan mukjizat pada malam itu bermakna beliau sudah berada dalam lingkungan ketetapan yang direstui (masjidilaqsa) kerana jika Nabi Musa sanggup menerima tanggungjawab yang diperintahkan Allah untuk bersemuka dengan Firaun dengan mukjizat-mukjizatnya, Tuhan berjanji akan menemui beliau sekali lagi untuk memberikan mukjizat yang lebih besar iaitu Al-KitabNya.

Mari kita sama-sama bincangkan.

Written by tolokminda

February 5, 2010 at 5:53 pm

Cukur jambul menyekutukan Tuhan

with 31 comments

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya menginginkan anak. Mereka memohon kepada Tuhan supaya dikurniakan anak yang comel dan sempurna, sebagai cahayamata pengikat kasih dan sayang di antara mereka.

7:189 Dialah yang telah menjadikan kamu dari seorang dan menjadikan pasangannya dari jenis yang sama supaya dia tertarik kepadanya. Apabila mereka bersatu, dia (perempuan) menanggung beban yang ringan dan mengandung tanpa menyedarinya. Apabila ia berkembang menjadi semakin berat, mereka berdua memohon kepada Tuhan: “Jika Engkau kurniakan kami anak yang sempurna, kami berjanji akan berterima kasih”.

Dan apabila dimakbulkan oleh Tuhan niat serta doa mereka, dikurniakan kepada mereka seorang anak yang comel dan sempurna, maka mereka berasa amat gembira dan mereka pun mengadakan majlis kesyukuran untuk mengalu-alukannya.

Dan dalam konteks masyarakat Melayu, budaya mengadakan majlis kesyukuran menyambut kedatangan bayi memang sentiasa diberi perhatian dan amalannya dilaksanakan secara meluas. Mengikut latar geografi tertentu, amalan ini dinamakan cukur jambul atau berendoi dan ada juga yang memanggilnya “naik buaian”.

Antara acara yang terkandung dalam amalan cukur jambul adalah seperti berikut;

  • Menyembelih kambing atau lembu Aqiqah. Daging dimasak dan dimakan bersama-sama dalam kenduri tersebut.
  • Bacaan Barzanji atau Marhaban: satu bacaan salasilah dan pujian terhadap Nabi Muhamad.
  • Meletakkan bayi di dalam buaian yang dihias indah. Di bawah buaian diletakkan pisau corek dan kemenyan berasap.
  • Bayi didukung dan diarak berkeliling tetamu lelaki yang sedang membaca Barzanji di ruang anjung rumah.
  • Beberapa tetamu penting seperti datuk kepada bayi, imam, ketua kampung dan bomoh akan merestui dan mengusap jambul atau kepala bayi tersebut.

Sumber di sini

Dari kacamata Melayu kita, semua perkara mengenai majlis ini nampak baik dan mulia sekali. Menjadi kebanggaan seluruh keluarga. Bagaimana mungkin majlis kesyukuran menyambut kelahiran bayi yang amat dinanti-nantikan boleh menjadi suatu amalan yang tidak elok? Tuhan tentu merestui.

Malangnya Tuhan tidak berpendapat begitu. Di sisi Tuhan, inilah sebenarnya yang telah kita perbuat.

7:190 Tetapi apabila Dia mengurniakan seorang anak yang sempurna, mereka mengadakan sekutu-sekutu ke atas apa yang Tuhan telah kurniakan kepada mereka. Tetapi Tuhan Maha Tinggi dari semua sekutu yang mereka adakan terhadapNya.

7:91 Apa! Mereka mengada-adakan terhadapNya sekutu-sekutu yang tidak mampu mencipta apa pun melainkan mereka sendiri pun dicipta?.

7:192 Dan tidak ada bantuan yang boleh mereka berikan, tidak juga mereka boleh membantu diri mereka sendiri.

7:194 Sesungguhnya mereka yang kamu sebut di samping Tuhan adalah hamba seperti kamu. Oleh itu panggillah mereka dan biar mereka mendengar permohonan kamu kalau kamu benar!

7:195 Tidakkah mereka mempunyai kaki untuk berjalan? Atau tangan untuk memegang? Atau mata untuk melihat? Atau telinga untuk mendengar? Katakan: “Panggillah sekutu-sekutu Tuhanmu, berusahalah menentang aku, dan jangan beri aku sebarang penangguhan!

Masih tidak nampak apa yang dimaksudkan oleh Tuhan? Mari kita periksa semula senarai acara majlis cukur jambul atau berendoi atau naik buaian yang diamalkan dalam masyarakat melayu.

  • Menyembelih kambing atau lembu Aqiqah. Daging dimasak dan dimakan bersama-sama.

Soalan saya: Nama siapakah yang disebut ketika binatang aqiqah disembelih? Adakah semata-mata nama Tuhan? Atau ada nama lain? Kita dilarang makan daging haiwan yang disembelih atas nama selain dari Tuhan. Lagi pun amalan korban haiwan bukanlah dari ketetapan Tuhan. Tuhan kata dalam 22:34-37: “Daging dan darah tidak akan sampai kepadaNya tetapi kepatuhan (kepada ketetapan) dari kamu pasti akan sampai kepadaNya”.

  • Bacaan Barzanji atau Marhaban: satu bacaan salasilah dan pujian terhadap Nabi Muhamad.

Soalan saya: Apakah relevannya puji-pujian kepada Muhamad yang diutamakan dalam majlis ini? Nabikah yang telah mengurniakan anak itu kepada ibubapanya? Bukankah Tuhan sendiri telah menyuruh Nabi bantah perbuatan menyekutukan Tuhan dalam majlis kesyukuran menyambut kelahiran anak? Lihat apa yang Tuhan ajar kepada Nabi tentang perkara ini seperti yang dinyatakan dalam 7:195 – Katakan: “Panggillah sekutu-sekutu Tuhanmu, berusahalah menentang aku, dan jangan beri aku sebarang penangguhan!”

  • Meletakkan bayi di dalam buaian yang dihias indah. Di bawah buaian diletakkan pisau corek dan kemenyan berasap.

Soalan saya: Kenapa perlu letak pisau dan memperasap kemenyan? Tuhan tidak cukupkah sebagai pelindung?

  • Bayi didukung dan diarak berkeliling tetamu lelaki yang sedang membaca Barzanji di ruang anjung rumah. Beberapa tetamu penting seperti datuk kepada bayi, imam, ketua kampung dan bomoh akan merestui dan mengusap jambul atau kepala bayi tersebut.

Soalan saya: Bukankah mereka semua juga – pada hakikatnya – boleh dianggap tergolong dalam kategori sekutu-sekutu yang disebut dalam 7:191-195?

7:191 Apa! Mereka mengada-adakan terhadapNya sekutu-sekutu yang tidak mampu mencipta apa pun melainkan mereka sendiri pun dicipta?.

7:192 Dan tidak ada bantuan yang boleh mereka berikan, tidak juga mereka boleh membantu diri mereka sendiri.

7:194 Sesungguhnya mereka yang kamu sebut di samping Tuhan adalah hamba seperti kamu. Oleh itu panggillah mereka dan biar mereka mendengar permohonan kamu kalau kamu benar!

7:195 Tidakkah mereka mempunyai kaki untuk berjalan? Atau tangan untuk memegang? Atau mata untuk melihat? Atau telinga untuk mendengar? (Tuhan tidak perlu anggota atau deria seperti datuk, tok imam, penghulu, atau malah nabi sekalipun perlukan).

Cukur Jambul amalan warisan kaum jahiliah

Melalui ayat-ayat 7:189 – 195, kita boleh membuat kesimpulan bahawa amalan mengadakan majlis kesyukuran menyambut kelahiran anak seperti majlis cukur jambul dalam masyarakat Melayu bukanlah satu perkara baru. Malangnya dari zaman Arab jahiliah sampailah sekarang, ia kekal sebagai satu amalan songsang yang menyekutukan Tuhan.

Ironinya, sedangkan Al-Quran telah memberi petunjuk jelas bahawa Nabi sendiri pernah disuruh membantah amalan menyekutukan Tuhan melalui majlis meraikan kelahiran bayi di zamannya, hari ini Nabi pula telah dijadikan subjek penyekutuan yang paling diutamakan dalam acara seperti itu oleh umatnya sendiri.

Nampaknya benarlah kata Tuhan kepada Nabi melalui ayat yang amat mendalam maksudnya ini.

7:193, “Jika kamu menyeru mereka kepada pedoman, mereka tidak akan turut. Kepada kamu ia sama saja samada kamu menyeru mereka atau kamu berdiam diri”.

Begitulah buruknya sifat dan sikap manusia bila kita tidak mahu menerima pedoman Allah. Jelas sekali Tuhan amat mengenali kelakuan manusia. Cuma manusia saja yang gagal mengenali sifat dan sikap buruk mereka terhadap Pencipta mereka sendiri.

7:189 Dialah yang telah menjadikan kamu dari seorang dan menjadikan pasangannya dari jenis yang sama supaya dia tertarik kepadanya. Apabila mereka bersatu, dia (perempuan) menanggung beban yang ringan dan mengandung tanpa menyedarinya. Apabila ia berkembang menjadi semakin berat, mereka berdua memohon kepada Tuhan: “Jika Kamu kurniakan kami anak yang sempurna, kami berjanji akan berterima kasih”.

7:190 Tetapi apabila Dia mengurniakan seorang anak yang sempurna, mereka mengadakan sekutu-sekutu ke atas apa yang Tuhan telah kurniakan kepada mereka. Tetapi Tuhan Maha Tinggi dari semua sekutu yang mereka adakan terhadapNya.

Adakah kita mahu terus meniru amalan buruk kaum Jahiliah terhadap Tuhan apabila meraikan kegembiraan menyambut kelahiran anak-anak kita? Adakah kita tidak ada common sense?

Written by tolokminda

February 1, 2010 at 6:00 pm