Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Berebut perkataan Tuhan dalam bahasa Arab

with 14 comments

Isu kebenaran mahkamah terhadap penggunaan istilah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan Herald – The Catholic Weekly telah mencetuskan pelbagai polemik, pertikaian, bantahan dan sebagainya. Umat Islam secara umumnya tidak bersetuju atau sekurang-kurangnya tidak suka dengan keputusan mahkamah. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri sudah pun mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Atas kehangatan yang sedang meliputi isu ini, saya merasa terpanggil untuk turut memberikan komen mengenainya. Komen saya, saya tidak nampak keikhlasan kedua-dua pihak, sama ada pihak Herald – The Catholic Weekly yang mewakili masyarakat Kristian Katholik dan pihak umat Islam yang diwakili oleh pelbagai medium yang mereka miliki.

Sebenarnya jika kita dengar kata Tuhan, samada Herald – The Catholic Weekly dan umat Islam tidak perlu menjerumuskan diri ke dalam perbalahan seperti ini. Masing-masing sudah ada kitab masing-masing dan Tuhan telah menetapkan apa patut mereka ikuti. Penganut agama kitab tidak sepatutnya bersaing di antara satu sama lain hanya untuk menggunakan istilah Tuhan dalam bahasa Arab. Tidak ada maknanya!

Mari kita lihat, siapa sebenarnya mereka yang sepatutnya percaya kepada Al-Kitab:

42:13 Dia menetapkan kepadamu cara hidup yang sama yang telah ditetapkan kepada Noh, dan apa yang telah diwahyukan di sini (al-Quran), dan apa yang telah diperintah kepada Ibrahim, Musa dan Isa. Kamu perlu berpegang kepada cara hidup yang satu dan bukan berpecah-belah. Memang sangat sukar kepada penyembah selain Allah untuk menerima apa yang kamu sarankan. Hanya Tuhan yang merapatkan kepada-Nya sesiapa yang dia kehendaki. Dia memberi pedoman kepada sesiapa yang mahu kembali kepada-Nya.

Sebenarnya semua ahli Kitab mendapat Al-Kitab yang memandu mereka kepada satu cara hidup yang sama. Mereka tidak perlu mengadaptasi Kitab lain, apatah lagi jika ianya hanya mengenai istilah Tuhan yang berbeza akibat perbezaan bahasa Al-Kitab mereka.

Kita lihat lagi bukti bahawa Tuhan mahu setiap ahli Kitab berpegang kepada Al-Kitab masing-masing:

5:43 Tetapi mengapa mereka datang kepadamu untuk keputusan, sedangkan mereka mempunyai hukum yang telah ditetapkan kepada mereka, di dalamnya (Al-Kitab mereka) adalah perintah yang jelas, tetapi walaupun selepas itu, mereka tetap berpaling kepadanya. Mereka bukanlah orang-orang yang percaya.

5:44 Dialah yang telah mewahyukan hukum (kepada Musa); di dalamnya mengandungi pedoman dan cahaya. Melaluinya orang-orang Yahudi sepatutnya dihukum, oleh Nabi-Nabi yang patuh dengan keizinan Tuhan, oleh para rabi dan peguam; yang kepada mereka Al-Kitab Tuhan telah diamanahkan, dan mereka turut bersaksi ke atasnya, oleh itu jangan takut kepada manusia, tetapi takutlah kepada Aku, dan jangan jual Pedoman-Pedoman-Ku dengan harga yang murah. Jika sesiapa gagal menghukum dengan apa yang Tuhan telah wahyukan, merekalah orang-orang yang tidak Percaya.

5:45 Kami tetapkan di dalamnya untuk mereka; “Nyawa dengan nyawa, hidung dengan hidung, telingan dengan telinga, gigi dengan gigi, dan kecederaan dengan kecederaan yang sama”. Tetapi jika sesiapa melepaskan haknya melalui belas ihsan, ia adalah penebus kepada dirinya sendiri. Dan jika sesiapa gagal menghukum dengan apa yang telah Tuhan wahyukan, mereka adalah orang-orang yang bersalah.

5:46 Dan menuruti langkah mereka, Kami mengutuskan Isa anak Mariam, mengesahkan Hukum-hukum yang telah datang sebelum dia. Kami utuskan kepadanya Injil, di dalamnya pedoman dan cahaya, dan telah mengesahkan Hukum-hukum yang telah datang sebelum dia” satu pedoman dan peringatan kepada mereka yang takut kepada Tuhan.

5:47 Biarlah mereka yang menerima Injil menghukum dengan apa yang telah Tuhan wahyukan di dalamnya. Jika sesiapa gagal menghukum dengan apa yang telah Tuhan wahyukan, mereka adalah orang-orang yang ingkar.

5:48 Kepada kamu Kami telah utuskan Warkah yang benar (Al-Quran), mengesahkan warkah yang telah diutuskan sebelumnya dan memeliharanya, jadi hukumlah di antara mereka apa yang Tuhan telah wahyukan dan jangan ikut kehendak nafsu mereka, mengalih dari kebenaran yang telah sampai kepadamu. Kepada setiap kamu Kami telah tetapkan satu hukum dan jalan yang terbuka. Jika Tuhan kehendaki, Dia tentulah telah menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia mahu menguji apa yang telah diberikan ke atas kamu, jadi bersungguh-sungguhlah berlumba dalam semua kebaikan-kebaikan berkenaan (apa yang telah diutuskan kepada setiap umat). Matlamat kamu semua adalah kepada Tuhan. Dialah yang akan menunjukkan kamu kebenaran mengenai perkara-perkara yang kamu pertikaikan.

Saya secara peribadi berpendapat Tuhan tidak memiliki nama khas. Allah bukanlah satu nama khas Tuhan. Tetapi ia hanya satu perkataan dalam bahasa Arab yang membawa maksud Tuhan. Tidak masuk akal Tuhan mempunyai satu nama khas seperti manusia. Apakah ada Tuhan lain selain Allah sehingga Dia memerlukan nama khas untuk mengenalpasti antara satu sama lain?  Sudah tentu tidak.  Tuhan tidak perlu satu nama khas.

Tuhan kata semua gelaran yang terbaik adalah milik Dia. Maksudnya segala pujian adalah milik Allah. Dan kita boleh memanggilNya dengan mana-mana gelaran pujian kerana sememangnya itulah yang paling sesuai untuk menyifatkan Tuhan. Jadi panggillah Tuhan dengan gelaran-gelaran pujian yang terbaik dan tidak perlulah kita bergaduh kerana berebut satu istilah bahasa Arab hanya kerana ia bermaksud Tuhan dalam bahasa itu.

17:110 Katakan: Panggil Allah atau panggil atas gelaran, Tuhan Yang Pemurah, apa pun yang kamu panggil, Dia memiliki gelaran-gelaran yang terbaik.

7:180 Dan Allah pemilik gelaran-gelaran terbaik, oleh itu panggillah Dia dengannya, dan tinggalkan mereka yang melanggar kemurnian gelaran-gelaran Tuhan, mereka akan mendapat balasan atas apa yang mereka perbuat.

Dari ayat-ayat yang saya kemukakan di atas adalah jelas penggunaan istilah Tuhan dalam bahasa apa pun tidak penting. Yang penting adalah jika kita orang yang percaya kepada Al-Kitab, tidak kiralah Al-Kitab yang mana satu, kita perlu patuh kepada perintah-perintah Tuhan yang telah ditetapkan dan menjadikan ianya komitmen kita kepada Tuhan. Berebut istilah Tuhan dalam bahasa Arab tidak akan memberi apa-apa makna jika hakikatnya apa yang kita amalkan tidak bersandar kepada Al-Kitab Tuhan yang sebenar.

Written by tolokminda

January 5, 2010 at 5:57 am

14 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Itulah jadinya apabila manusia sekadar mengenal Tuhan pada sesuatu nama atau gelaran tertentu sahaja. Sepatutnya Tuhan dikenali pada segala Sifat2 Yang Terpuji untukNya. Biar mata hati kita nampak Sifat2 tersebut, barulah mantap iman di dada. Ketika itu kita sudah tidak takut pada cakap2 manusia yang membuat hukum2 dusta.

    Sesuatu nama Tuhan itu tidak akan memberi apa2 kesan kepada jiwa jika Sifat-sifat KeagunganNya tidak kita rasai. Yang meremangkan bulu roma kita bila sebut pasal Tuhan adalah apabila kita merasai Sifat-sifat MuliaNya itu.

    Seperti kita rasa Sifat Pemurah dan PenyayangNya Dia yang memberi kita bermacam2 petunjuk yang sebelum ini kita tidak nampak apa erti kita diciptakan sebagai manusia.

    Juang

    January 5, 2010 at 2:29 pm

  2. Golongan beragama lebih suka mengambil jalan permusuhan dan bukan persamaan. Itulah masalahnya.

    Umat islam sebenarnya mempunyai sumber yang cukup untuk mempromosikan kefahaman berkenaan persamaan di antara umat agama langit kerana Kitab mereka masih murni dan ia mengandungi semua jawapan kepada semua kekeliruan yang menyelubungi umat-umat Al-Kitab yang terdahulu dari mereka.

    Malangnya umat Islam yang sepatutnya bangkit memimpin dan menjelas turut kesesatan dan teraba-raba dalam dunia khayalan mereka sendiri.

    tolokminda

    January 5, 2010 at 4:09 pm

  3. Benar tu. Al Quran sudah cukup lengkap sebagai cara hidup yang bersistematik, kerana ia berlandarkan peraturan alam (Sunnah). Seperti mana bersistematiknya alam semesta ini Allah aturkan, begitulah juga kalau kita jadikan Islam sebagai cara hidup, pasti hidup kita tenang, mudah, lapang dan tiada ketakutan.

    Punca utama umat Islam hari ini jadi teraba2 dalam kegelapan kerana tidak mahu membuka minda untuk mengikut yang paling baik dan paling logik. Perumpamaan mereka seperti ada super komputer, tetapi taknak ON komputer itu. Mereka simpan buat perhiasan sahaja.

    Juang

    January 5, 2010 at 5:07 pm

  4. Assalamualaikum

    Sejauh yang berkenaan dengan istilah agama Islam, semuanya adalah datang daripada Allah Ta’ala, bukannya ciptaan mana-mana ulama atau pemimpin. Dan Allah Ta’ala tidak menetapkan kepada mana-mana kelompok dengan suatu istilah khas. Allah adalah Rabbul Alamin, iaitu Tuhan sekalian alam. Dan tidak ada persoalan bahawa suatu kaum itu boleh menggunakan suatu istilah dari Allah Ta’ala dan kaum yang lain dilarang keras untuk menggunakannya.

    Ajaran Islam adalah ajaran untuk semua kaum, namun tidak semua umat Islam mengetahuinya. Allah Ta’ala berfirman dalam Al-Qur’an:-

    “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Al-Anbiya:107)
    Rasulullah(saw) menyebarkan ajaran yang dibawanya iaitu menyeru ke arah ketakwaan, dan setiap orang bukan sahaja diberikan kebenaran untuk beramal, malah mereka juga dijemput untuk berbuat seperti itu. Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an;-

    Ertinya; Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu. (Ali-Imran:64)

    Di sini tidak istilah tiru-meniru, agar tidak ada perselisihan faham, ada kerjasama antara satu dengan yang lain. Inilah maksud daripada Rahmatul Lil Alamin, iaitu menyebarluaskan rahmat ke seluruh dunia. Rahmat Tuhan meliputi setiap lapisan.

    Jika isu penggunaan kalimah atau istilah ini berterusan, yang mana harus ada kebenaran dari jabatan agama sebelum menggunakannya, maka orang Yahudi akan menyatakan bahawa Nabi Ibrahim adalah pengasas kepercayaan kami, dan Al-Qur’an menegaskan kebenarannya iaitu istilah ‘Islam’ telah digunakan oleh Nabi Ibrahim buat pertama kalinya. Begitu juga dengan istilah ‘Muslim’. Di dalam Al-Qur’an dinyatakan bahawa:-

    Ertinya; Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus (Haneef) lagi berserah diri (Muslim) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik. (Ali-Imran:67)

    Jadi, tidak boleh orang Kristian menyatakan diri mereka Muslim dan orang Islam juga tidak boleh mengatakan diri mereka Muslim. Mereka harus minta kebenaran orang Yahudi untuk mengatakan diri mereka sebagai Muslim.

    Persoalan yang timbul pula, kenapa kita harus meminta izin daripada orang Yahudi? Inilah soalan yang asas.
    Semua istilah ini adalah kepunyaan Tuhan, dan Allah yang Maha Agung memberitahu kita bahawa setiap perkara yang baik boleh dilakukan tanpa halangan. Tidak ada larangan atas seiapa untuk meniru sesuatu yang baik.

    Kemudian Allah Ta’ala juga berfirman:-

    Ertinya; Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh (Muslim) kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh (Muslim) kepada Engkau. (Al-Baqarah:128)

    Sebenarnya keimanan kita adalah pada masa Nabi Muhammad(saw). Namun, semua keturunan nabi Ibrahim, termasuk orang yang hidup sebelum zaman Rasulullah(saw), mereka adalah Muslim berdasarkan Al-Qur’an.

    Allah Ta’ala berfirman lagi:-

    Ertinya; (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim. (Al-Hajj:78)

    Maksudnya, sesiapa pun yang menghubungkan dirinya kepada nabi Ibrahim berhak menamakan diri mereka sebagai Muslim dan tidak ada satu kuasa pun di dunia ini yang patut melarangnya.

    Kemudian, Allah Ta’ala berfirman lagi:-

    Ertinya: Berkata ia (Balqis): “Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia. (An-Naml:29)

    Sesungguhnya surat itu, dari SuIaiman dan sesungguhnya (isi)nya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (An-Naml:30)

    Di sini juga adalah satu perkara yang harus diberi perhatian. Orang Yahudi akan menyatakan bahawa sebenarnya kami adalah Muslim dan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Rahiim adalah milik kami.

    Dan, akhir sekali Allah berfirman:-

    Yakni; Bahwa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri (Muslim)”. (An-Naml:31)

    Kemudian, Allah Ta’ala berfirman lagi:-

    Yakni; Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata: “Sesungguhnya kami akan mendirikan sebuah rumah peribadatan (masjid) di atas nama mereka”. (Al-Kahfi:21)

    Ayat ini menjadi bukti bahawa istilah masjid telah digunakan oleh orang Kristian dan itu menandakan istilah masjid adalah milik orang Krsitian. Jadi, jikalau lafaz masjid milik orang Kristian dan lafaz Muslim serta bismillah adalah milik orang Yahudi, orang Islam harus berhenti menggunakan istilah itu.

    Demikian jugalah dalam isu penggunaan lafaz Allah dalam agama lain. Saya secara peribadi tidak keberatan jika orang Kristian menggunakan perkataan Allah. Sebab saya tidak akan terpengaruh dengan hanya panggilan nama Tuhan Allah. Dan saya sendiri telah dan sedang mempelajari Al-Kitab, dan di dalamnya banyak lafaz Allah digunakan, tetapi tidak juga menggugat keimanan saya untuk mengikuti ajaran Kristian, malah semakin ghairah untuk membetulkan kesalahfahan mengenai konsep ketuhanan dalam Kristian.

    Sebenarnya, dalam soal ini saya tidak jumpa alasan apa yang digunakan orang Islam sehingga melarang penggunaan istilah oleh penganut agama lain. Bagi saya, istilah hanya sebutan di mulut sahaja. Kalau penggunaan istilah Allah oleh agama lain itu dikatakan menghina Islam, saya tidak setuju selagi pengguna itu sendiri yang menyatakannya demikian sebab tidak semua ajaran Kristian percaya kepada konsep Triniti. Ada juga kelompok Kristian yang percaya kepada konsep keesaan Tuhan.

    Jadi, sebagai orang Islam, jangan kita terlalu ghairah sehingga membuat berbagai-bagai kenyataan yang boleh mengundang kekacauan. Islam agama perdamaian.

    Sebenarnya, dalam tidak sedar, ramai umat Islam yang telah menghina Tuhan sendiri. Tidak kiralah orang Islam itu berpangkat datuk, datin, menteri, orang awam atau bangsawan, ringkasnya, amalan yang tidak berlandaskan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah, mereka boleh dikategorikan sebagai menghina Allah.

    Gambaran Allah dalam beberapa penganut Islam sendiri banyak yang silap. Contoh yang terdekat dan sehari-hari yang dilakukan ialah dalam lafaz niat ketika mendirikan solat. Ada beberapa orang imam yang saya jumpa menyatakan bahawa, jika tidak baca lafaz USALLI dalam solat, tidak sah, sebab ibarat kita pergi jumpa kawan mahu punjam barang, kalau kita tidak cakap, kawan itu tidak tahu apa yang kita mahu. Sebab itu solat pun demikian, kita mesti nyatakan tujuan kita berdiri, nak solat apa, berapa rakaat, mengadap kemana, dll. Saya jawab: tuan imam jangan silap, tuan tidak boleh samakan Tuhan dengan manusia. Tuhan Maha Mengetahui.

    Jadi, janganlah dibesar-besarkan isu seperti ini. Jangan merasa kecewa dengan keputusan hakim. Sebagai orang Islam, kita harus berpegang pada Al-Qur’an, hayati surah Al-Ikhlas. Serahkan kepada Allah, kalau memang mereka mahu guna perkataan Allah itu, biarkanlah. Mudah-mudahan dengan berkat kata Zat ALLAH itu, hati mereka terbuka untuk menerima Islam.

    Tuhan Allah itu adalah Tuhan semua manusia, Tuhan Nabi Muhannad, Tuhan Nabi Isa, Tuhan Nabi Musa dan Tuhan setiap makhluk di seluruh alam. Cuma ada manusia yang tidak atau belum dapat menerima hakikat. Tuhan Allah bukan hanya milik orang Islam sahaja. Tetapi itulah Tuhan yang kekal abadi. Jadi, jangan cuba untuk monopoli.

    Kepada penganut Kristian pula, jangan terlalu berbangga dengan keputusan hakim. Jika Tuhan kita memang sama, Allah yang Maha Esa, kamu semua harus menerima Islam, sebab itu yang diinginkan oleh nabi Isa. Sesungguhnya sang penghibur itu sudah datang. Dan banyak yang dikatakan kepada kamu apa-apa yang belum disampaikan kepada kamu selama nabi Isa hidup. Nabi Isa sudah wafat. Jangan pergi terlalu jauh, sebab jika kamu semakin jauh dari ajaran agama yang benar, suatu masa nanti jangan sampai merasa seperti yang pernah dirasakan oleh Nabi Isa dahulu; Eli Eli, lama sabakhtani, Tuhanku, kenapa Engkau meninggalkan aku.

    islahdin

    January 6, 2010 at 6:39 am

  5. Assalamu’alaikum,
    maaf saya menganggu di sini.

    Tetapi berkenaan Allah tiada nama khas itu, saya rasa anda tersilap. Hal ini kerana, Allah yang menamakan dirinya adalah Allah.

    Jika anda kata Allah adalah nama yang orang arab guna untuk sebut berkenaan tuhan, maka sama sahaja dengan anda menyatakan Al-Quran itu rekaan orang arab sahaja.

    nama Allah, datang daripada Allah.
    Dia yang menamakan diri-Nya sedemikian.

    Memang kalau ikut logik akal, Tuhan tidak patut ada nama macam manusia. Tetapi Allah, Dia berurusan dengan manusia. Dia tahu bahawa manusia tidak akan mampu bergerak kepada-Nya tanpa nama khas untuk dipanggil dan diimani.

    Nama Allah, bukan untuk kegunaan Allah. Allah beri nama itu pada kita, untuk kegunaan kita dalam urusan kita dengan-Nya.

    dan pendapat kamu berkenaan Allah suruh berpegang dengan kitab masing-masing, pun ada silapnya juga.

    Apabila Al-Quran turun, kitab-kitab sebelumnya dimansuhkan. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda kepada Saidina Umar yang satu hari membawa taurat dengan berkata:

    “Wahai Umar, anda Musa hidup lagi pada zaman ini, maka dia akan mengikutiku dan meninggalkan taurat”

    Cuma dalam urusan nak mengajak manusia masuk kepada Islam, Allah mengajar kita bertoleransi. Sebab itu dimuliakan juga ahli kitab.

    Tetapi tiada arahan Allah untuk stick pada kitab terdahulu. Dan kalau ahli kitab memahami kebenaran kitab mereka, maka mereka akan mengikuti Islam akhirnya.

    Di sini saya rasa, anda kena lihat semua kenyataan anda.

    Saya sekadar berkongsi.

    Maafkan saya kalau saya tersilap.

    Saya percaya kita semua mencari kebenaran.

    Semoga Allah redha.

    -Usuluddin, University of Yarmouk, Jordan.

    humaru89

    January 6, 2010 at 8:39 am

  6. Salam Islahdin,

    Terima kasih kerana menyumbang pendapat. Beberapa perkara yang tuan bentangkan menarik dan mungkin boleh kita diperbincangkan melalui artikel yang spesifik kemudian nanti.

    tolokminda

    January 6, 2010 at 2:16 pm

  7. Salam Humaru89,

    Tuan kata Allah nama khas Tuhan. Saya tidak setuju. Tuhan telah menurunkan beberapa Al-Kitab sebelum Al-Quran dan semua Al-Kitab berkenaan menggunakan bahasa ibunda rasul yang diutuskan. Adakah dalam mana-mana Al-Kitab sebelum Al-Quran Tuhan menggunakan nama Allah untuk merujuk namaNya? Kalau ada, sila buktikan?

    Mengenai anggapan tuan bahawa Tuhan telah memansuhkan semua Al-Kitab terdahulu, saya telah mengemukakan bukti sebaliknya dalam artikel di atas menggunakan ayat-ayat Al-Quran sendiri. Tetapi tuan hanya menampilkan satu keratan hadis sebagai hujah. Adakah saya patut menolak ayat-ayat Allah dan menerima hadis tuan?

    Tentulah tidak.

    Melalui ayat-ayat yang saya kemukakan itu adalah jelas semua Al-Kitab Allah tidak pernah dimansuhkan sebab semua sama saja dengan Al-Quran. Yang jadi masalah adalah pengikut-pengikut Al-Kitab tidak patuh kepada wahyu-wahyu Tuhan tetapi memilih untuk patuh kepada ajaran-ajaran palsu manusia. Hal seperti itu bukan hanya berlaku di kalangan pengikut Al-Kitab terdahulu malah turut berjangkit kepada umat Al-Quran.

    tolokminda

    January 6, 2010 at 2:40 pm

  8. Salam,

    Kemansuhan sesuatu Kitab adalah yang perkara mustahil berlaku. Ini kerana ajaran Kitab-kitab terdahulu, sama juga dengan Kitab-kitab terkemudian yang mengajak manusia mentauhidkan Allah dan jangan menyekutukanNya.

    Jika Kitab-kitab terdahulu dimansuhkan, bukankah itu bermakna ajaran mentauhidkan Allah itu dimansuhkan sekali? Jika Kitab-kitab terdahulu dimansuhkan, bukankah itu bermakna pedoman-pedoman baik para Nabi-nabi terdahulu dimansuhkan?

    Cuba lihat secara realistik, dalam ilmu2 lain seperti matematik umpamanya. Walaupun ahli matematik terkemudian telah menulis buku-buku baru pasal penemuan rumus matematik, hukum semudah 1+1=2 tidak akan dimansuhkan sebab ia sudah ternyata benar.

    Jadi, mengatakan sesuatu Kitab terdahlu dimansuhkan seolah-olah mengatakan Kitab Allah yang terdahulu itu tidak benar pula.

    Yang dimansuhkan bukannya Kitab-kitab Allah itu, tetapi ajaran-ajaran dusta yang diada-adakan oleh ahli-ahli kitab itu sahaja.

    Juang

    January 7, 2010 at 3:00 am

  9. The Dogs are Barking In Malaysia

    satu perspektif yang fresh berkenaan isu ni.

    Agnostika

    February 23, 2010 at 2:34 am

  10. Salam,

    Itulah mereka tak faham dlm persoalan ini..🙂

    Jebon

    May 24, 2010 at 10:47 pm

  11. Salam Tolok

    Berebut sebutan?
    Alibimu bagus,
    I like it.

    Salam Damai!

    Maren Kitatau

    October 8, 2010 at 3:11 am

  12. Yang dimansuhkan bukannya Kitab-kitab Allah itu, tetapi ajaran-ajaran dusta yang diada-adakan oleh ahli-ahli kitab itu sahaja.

    Numpang nanya nih.ajaran-ajaran dusta yang diada-adakan oleh ahli-ahli kitab itu yang seperti apa

    javanizis

    November 29, 2011 at 2:07 pm

  13. 5:72. Merekalah orang-orang yang tidak percaya, yang berkata, “Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam.” Berkata al-Masih, “Wahai Bani Israil, khidmatilah Allah, Pemeliharaku dan Pemeliharamu. Sesungguhnya sesiapa menyekutukan Allah, Allah akan mengharamkannya Taman, dan tempat menginapnya ialah Api; orang-orang yang zalim tidak ada penolong-penolong.”

    Juang

    December 9, 2011 at 10:30 pm

  14. Aku tidak menyekutukan Allah. Bahasa kitab suci itu bahasa yang figuratif dibutuhkan pemahaman yang bukan sekedar logika.Baca http://javanizis.wordpress.com/yesus anak manusia

    javanizis

    December 19, 2011 at 12:11 pm


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: