Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for April 2010

Tuhan & sistemNya yang sempurna

with 148 comments

Dalam sebahagian besar dari ayat-ayat Al-Quran, Tuhan menggunakan gantinama “Kami”. Saya berpendapat Tuhan gunakan gantinama “Kami” untuk merujuk kepada Dia dan “sistem”Nya. Dalam konteks sesuatu ayat, sistem Tuhan yang dimaksudkan mungkin boleh ditafsirkan secara khusus. Tetapi pada dasarnya sifat sistem Tuhan – menurut kemampuan akal manusia – adalah tidak terbatas.

Segala-gala yang Tuhan cipta dalam alam ini merupakan sebahagian dari sistem Tuhan. Dan manusia biar segigih manapun berusaha mungkin tidak berpeluang untuk mengetahui semuanya. Walaupun begitu Tuhan menjelaskan sistemNya itu merupakan satu kurniaan kepada seluruh manusia dan kita harus menuruti jejak Ibrahim yang berdedikasi untuk memahaminya.

2:125 “Dan Kami jadikan sistem ini sebagai satu kurniaan kepada manusia dan satu keharmonian – dan kamu harus mengambil teladan legasi-legasi Ibrahim yang komited. Dan kami perintahkan Ibrahim dan Ismail supaya mereka bersihkan sistemKu untuk mereka yang mahu mendekatkan diri dan mereka yang berdedikasi dan mereka merendah diri dan bersetuju”.

Sistem Tuhan adalah sebuah sistem yang sempurna. Ini kerana semua ciptaan Tuhan yang terdapat di dalam sistemNya itu sentiasa akur kepada perintah Tuhan. Baik yang wujud di langit mahupun yang wujud di bumi – yang kelihatan mahupun yang ghaib – semuanya patuh kepada ketetapan-ketetapan yang Tuhan telah restui (masjidillah) ke atas mereka. Itulah komitmen (solaa) mereka terhadap Tuhan.

Malah anggota badan kita sendiri pun sebenarnya merupakan sebahagian dari sistem Tuhan yang tidak pernah gagal berfungsi menurut kehendakNya. Setiap zarah yang membina tubuh badan kita akur kepada ketetapan Tuhan pada setiap masa di mana sahaja. Kita tidak sekali-kali dapat menghalang tubuh badan kita dari kepatuhannya kepada Tuhan kecuali kita akan merosakkannya.

Tanyalah doktor. Adakah mereka perlu bekerja menurut sistem tubuh pesakit atau tubuh pesakit yang perlu patuh kepada sistem mereka? Saya fikir jawapannya jelas kepada kita semua. Sebab itulah di akhirat nanti anggota badan kita akan turut menjadi saksi bagi pihak Tuhan. Anggota tubuh badan kita sendiri tidak akan menjadi saksi bagi pihak kita.

36:65  Hari ini, Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka akan bercakap kepada Kami, dan kaki mereka akan menjadi saksi kepada apa yang telah mereka lakukan.

Pendek kata, apabila Tuhan menggunakan gantinama “Kami” ia merujuk kepada Tuhan dan seluruh sistemNya yang maha luas lagi sempurna. Dan ia mungkin turut melibatkan anggota tubuh badan kita sendiri.

Oleh itu jika sekarang jantung kita boleh memahami sesuatu – cubalah fahami betul-betul. Kalau mata kita boleh melihat sesuatu – berusahalah lihat betul-betul. Jika telinga kita boleh mendengar sesuatu – dengarlah betul-betul. Jika deria-deria kita boleh membaca Al-Quran – bacalah betul-betul supaya kita beroleh petunjuk.

Kita harus sedar bahawa semua kemampuan yang ada pada setiap anggota tubuh badan kita adalah kerana mereka mematuhi ketetapan-ketetapan yang telah Tuhan restui ke atas mereka. Jika seluruh anggota badan kita sendiri pun sentiasa patuh kepada Tuhan, apakah wajar kita membiarkan jiwa kita berada dalam keingkaran dan kesesatan?

7:179  Dan Kami telah memberikan neraka ramai dari kalangan Jin dan manusia; mereka ada jantung yang dengannya mereka tidak memahami, dan mereka ada mata yang dengannya mereka tidak melihat dan mereka mempunyai telinga yang dengannya mereka tidak mendengar. Mereka seperti binatang ternak, tidak, mereka lebih jauh sesat. Mereka adalah orang-orang yang tidak sedar.

Nota:
Artikel ini merupakan jawapan saya kepada pertanyaan tentang gantinama “Kami” yang Tuhan gunakan di dalam Al-Quran oleh seorang peserta yang menggelar dirinya “Budak Bodoh”.

Written by tolokminda

April 15, 2010 at 12:26 am

Golongan agama merupakan pencetus kepada fenomena pembuangan bayi dan masalah tidak akan selesai selagi kita bergantung kepada mereka

with 51 comments

Hari ini masyarakat kita – masyarakat Islam di Malaysia – sedang dilanda wabak kejam membuang bayi atau dengan perkataan lain – membunuh bayi. Setiap dua-tiga hari dalam seminggu kita akan dapat melihat sekurang-kurangnya satu kes di mana mayat bayi ditemui di sana-sini; di dalam lubang tandas, dihanyutkan sungai, di dalam tong sampah, di surau dan masjid.

Apakah punca sebenar di sebalik kegilaan dan kekejaman ini?

Majoriti orang kita, apabila ditanya pendapat mereka mengenainya, mereka dengan mudah akan menyifatkan ia sebagai berpunca dari pengetahuan agama yang cetek. Perlu kembali kepada ajaran agama, kata mereka. Ironinya mereka lupa bahawa sebenarnya kerana agama merekalah bayi-bayi malang itu dibuang dan menemui ajal. Tidakkah mereka pernah terfikir perkara itu?

Kita semua tahu bahawa semua bayi yang dibuang atau dibunuh itu pada umumnya merupakan bayi-bayi yang dilahirkan hasil perbuatan zina dan mengikut definasi para ulama anak hasil dari zina adalah anak haram. Anak-anak haram ini menurut cerdik pandai Islam, adalah sangat hina tarafnya dan tidak memiliki hak sebagaimana “anak-anak halal” yang lahir dalam suatu ikatan perkahwinan.

Akibatnya, anak-anak hasil zina atau perhubungan luar nikah dianggap tidak bernilai, keji dan memalukan. Seterusnya masyarakat Islam bukan sahaja memandang keji kepada anak haram tetapi yang lebih memburukkan keadaan adalah apabila mereka turut memandang serong kepada keluarga yang berkenaan. Untuk mengelakkan pandangan buruk masyarakat, maka yang terlibat cenderung mengambil jalan keluar mudah – iaitu buang atau bunuh “bayi haram” mereka.

Fenomena ini sebenarnya telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran.

6:137 Dan kepada mereka yang mempersekutukan Tuhan, sekutu-sekutu mereka telah menyebabkan mereka melihat elok untuk mereka membunuh anak-anak mereka sebagai cara untuk merosakkan dan untuk mengelirukan mereka dari cara hidup (deen) mereka. Kalaulah Tuhan berkehendak tentulah mereka tidak akan melakukannya, jadi biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.

Melalui ayat di atas, Tuhan memberitahu kita bahawa perbuatan membunuh bayi atau anak-anak merupakan satu fenomena biasa dalam sesebuah masyarakat yang menyekutukan Tuhan di mana orang-orang yang mereka jadikan sekutu kepada Tuhan (golongan agamawan) memberi justifikasi kepada perbuatan membunuh anak-anak sebagai satu cara untuk mereka merosakkan dan mengelirukan masyarakat dari cara hidup sebenar yang direstui Tuhan.

Golongan agamawan yang dimaksudkan mungkin tidak akan mengakui peranan jahat mereka dalam fenomena pembunuhan bayi atau anak-anak yang tidak berdosa, tetapi itulah hakikat yang sebenarnya.

Samada sekarang atau pun di zaman Arab Jahiliah dulu, golongan agamawanlah yang telah menjadi pencetus kepada diskriminasi masyarakat terhadap  anak-anak malang dalam kelompok tertentu. Misalnya di zaman jahiliah dahulu kecenderungan mereka adalah membunuh anak-anak perempuan kerana agama mereka menyebabkan mereka percaya anak-anak perempuan hanya layak untuk Tuhan.

Akibatnya orang-orang Arab jahiliah malu apabila mendapat anak perempuan dan mereka lebih rela membunuhnya dari menerima ejeken masyarakat.

16:58  Dan apabila dimaklumkan anak perempuan kepada seorang dari mereka, mukanya menjadi hitam dan penuh kemarahan.
16:59 Dia menyembunyikan diri dari orang lain kerana berita buruk yang telah diberitakan kepadanya. Adakah wajar dia memeliharanya dengan rasa malu atau menanamnya di dalam pasir? Sesungguhnya kejahatanlah yang menjadi pertimbangan mereka.

43:17 Dan apabila seseorang dari mereka mendapat berita yang dia dipersamakan dengan Tuhan Yang Pemurah, mukanya menjadi hitam dan penuh kemarahan.

Nasib yang menimpa anak-anak perempuan Arab zaman jahiliah sebenarnya sama dengan anak-anak yang lahir di luar ikatan perkahwinan dalam masyarakat kita sekarang. Jika golongan agama masyarakat jahiliah telah menyebabkan masyarakatnya merasa malu apabila mereka mendapat anak perempuan, golongan agamawan kita sekarang pula telah membuatkan kita berasa malu apabila mendapat anak luar nikah.

Saya fikir masyarakat Islam harus menilai semula kepercayaan mereka dalam perkara ini. Mereka perlu mengambil inisiatif untuk menyemak samada Tuhan benar-benar ada membuat ketetapan tentang “anak haram” dan “anak halal”. Atau adakah kepercayaan mereka selama ini sekadar bersandar kepada persepsi yang ditanamkan oleh golongan agama ke atas mereka sebagaimana orang-orang Arab jahiliah dulu juga telah menjadi mangsa kepada persepsi yang serupa?

Bagi saya secara peribadi, hukum tentang anak haram ini adalah suatu yang telah diada-adakan kerana saya tidak menemui apa-apa tentang “anak haram” di dalam Al-Quran. Pandangan serong kita kepada “anak haram” sebenarnya langsung tidak berasas. Ia hanya wujud dalam presepsi masyarakat Islam akibat doktrinisasi yang berpanjangan mengenainya di atas label agama mereka. Dan hanya kerana persepsi ini, anak-anak dibunuh begitu saja.

Mari kita renungkan kenyataan Tuhan berikut:

6:140  Rugilah mereka yang telah membunuh anak-anak mereka dengan kejahilan, tanpa pengetahuan dan mereka mengharamkan apa yang telah direzekikan dengan menipu tentang Tuhan. Mereka telah sesat dan mereka tidak mendapat petunjuk.

Dari ayat di atas, adalah sangat jelas  sesiapa yang membunuh anak-anak mereka kerana kejahilan akibat menurut membuta tuli orang-orang yang telah menipu mereka tentang Tuhan (golongan agamawan) – yang mengharamkan apa yang telah Tuhan rezekikan,  iaitu dalam konteks ayat 6:140 – ANAK.  Tuhan kata mereka itu adalah golongan yang rugi, sesat dan tidak mendapat petunjuk.

Penyelesaian kepada masalah zina, penzina dan anak menurut perspektif Al-Quran

Di kalangan pembaca mungkin akan ada yang membantah apa yang saya utarakan di atas dengan alasan jika anak-anak luar nikah tidak boleh didiskriminasikan, ia ibarat memberi approval kepada perbuatan zina. Saya berpendapat kita boleh selesaikan masalah ini satu persatu bersandarkan kepada Al-Quran. Ini kerana Al-Quran telah menyediakan beberapa ketetapan khusus yang jelas mengenai perkara-perkara yang melibatkan zina, penzina dan juga anak.

Saya melihat penyelesaian yang kita cari-cari selama ini terdapat dalam ketetapan-ketetapan berikut:

  1. Hukuman terhadap penzina
  2. Tanggungjawab ibubapa terhadap anak yang dilahirkan
  3. Perkahwinan di antara penzina

Hukuman terhadap penzina

Tuhan telah memberi satu ketetapan yang jelas tentang kesalahan berzina.

24:2  Perempuan penzina dan lelaki penzina, kamu harus sebat setiap dari mereka dengan seratus sebatan dan jangan biarkan belas kasihan mengatasi kamu dalam cara hidup yang telah ditetapkan Tuhan jika kamu percaya kepada Tuhan dan Hari Kiamat. Dan biarkan sekumpulan orang-orang yang percaya menyaksikan hukuman ke atas mereka.

Jika kita berpegang kepada ayat di atas, maka para penzina tidak ada pilihan lain kecuali disebat 100 kali setiap seorang – yang lelaki dan yang perempuan. Dalam dunia kita yang serba moden hari ini, perlaksanaan undang-undang zina ini sebenarnya menjadi lebih mudah – sangat mudah khususnya bagi mana-mana kes yang melibatkan kandungan. Apa yang diperlukan hanyalah DNA yang padan di antara ibu, bapa dan anak.

Apabila seseorang perempuan mengandung atau melahirkan anak di luar perkahwinan, kita perlu mengenalpasti bapa kepada kandungan atau anak itu. Ia adalah kunci kepada keadilan dan ia boleh dilakukan dengan mendapatkan kenyataan atau pengakuan perempuan yang terlibat dan kemudian pengesahan boleh diperolehi dari bukti forensik seperti padanan DNA. Setelah pengesahan berjaya dilakukan – kedua-duanya wajar dijatuhkan hukuman sebat 100 kali.

Begitupun hukuman sebat ke atas perempuan yang sedang mengandung mungkin wajar dilakukan selepas dia melahirkan dan sudah berada dalam keadaan sihat. Ia selaras dengan prinsip keadilan dalam Islam. Menyebat ibu yang sedang mengandung mungkin akan memberi kesan kepada anak di dalam kandungan. Jika itu berlaku maknanya kita bersikap tidak adil kepada bayi tersebut.

Tanggungjawab ibubapa terhadap anak yang dilahirkan

Hukuman terhadap penzina tidak ada kena mengena dengan anak yang mereka hasilkan. Saya berpendapat samada anak itu mempunyai ibu dan bapa yang telah berkahwin atau belum berkahwin, keperluan dan hak anak ke atas ibu dan bapanya adalah sama.

Dia perlu dibesarkan – diberi makan dan minum, pakaian dan tempat tinggal, pendidikan dan pelajaran. Oleh itu tanggungjawab ibu dan bapa anak tersebut tidak boleh dilepaskan dari mereka berdua. Dalam hal ini kita perlu merujuk kepada ayat 233 – Surah Al-Baqarah yang sebenarnya sesuai untuk mendefinasikan hak dan tanggungjawab ibu atau bapa terhadap anak tanpa mengira status perkahwinan mereka. Sebagai ibu dan bapa kepada anak, mereka tidak boleh terlepas dari tanggungjawab yang terpikul secara automatik di atas bahu mereka.

2:233  Dan ibu-ibu patut menyusukan anak-anak mereka dalam tempoh 2 tahun jika dia (si bapa) yang ingin tempoh penyusuan penuh. Dan lelaki yang telah menyebabkan kelahiran anak itu adalah bertanggungjawab ke atas sara hidup serta pakaian secukupnya. Satu jiwa tidak akan dibebankan kecuali apa yang ia mampu. Tidak ada ibu yang patut ditekan kerana anaknya, tidak juga seorang bapa ditekan kerana anaknya. Begitu juga keperluan kepada penjaganya. Jadi jika mereka ingin berpisah menurut persetujuan dan perbincangan bersama, tidak ada salah ke atas mereka. Dan jika kamu mahu mengupah ibu-ibu asuhan, maka tidak menjadi kesalahan ke atas kamu jika kamu kembalikan apa yang telah diberi ke atas kamu secukupnya. Dan ingatlah Allah sentiasa dan ketahuilah Tuhan melihat apa yang kamu lakukan.

Perkahwinan di antara penzina

Perkara ini juga sebenarnya telah ditetapkan oleh Tuhan tetapi kita terlepas pandang kerana tafsiran yang tidak cukup objektif.

24:3  Lelaki penzina hanya akan mengahwini seorang perempuan penzina atau seorang yang mempersekutukan Tuhan. Dan perempuan penzina dia hanya akan berkahwin kepada seorang lelaki penzina atau seorang yang mempersekutukan Tuhan. Dan yang seperti itu dilarang kepada orang-orang yang percaya.

Kita sebenarnya sangat perlu mengambil berat ayat di atas. Kita harus memastikan penzina berkahwin dengan penzina atau mereka yang mempersekutukan Tuhan kerana  sebagai golongan yang percaya kita dilarang mengahwini mereka.

Maknanya apabila kita berdepan dengan pasangan zina yang telah didapati bersalah, kita harus menasihatkan supaya mereka berkahwin kerana ia adalah tindakan yang paling wajar untuk mereka. Namun jika mereka tidak mencapai persetujuan ke atas perkara itu, maka ia tetap terpulang kepada mereka. Bagaimanapun soal tanggungjawab ke atas anak masih perlu menuruti apa yang telah ditetapkan oleh Tuhan secara universal.

Sebagai penutup, saya percaya jika kita berani melihat masalah zina dan pembuangan bayi yang begitu berleluasa sekarang dari perspektif Al-Quran, kita akan dapat mencari jalan penyelesaiannya. Bagaimanapun itu bermakna kita terpaksa membersihkan perspektif diri dan masyarakat kita dari belenggu persepsi yang telah ditanamkan oleh golongan agama sejak sekian lama. Dan ia adalah satu usaha yang pastinya sangat sukar untuk dilakukan.

Written by tolokminda

April 13, 2010 at 5:38 am

Perbezaan di antara dua terjemahan: Ayat-ayat 22:23-31

with 61 comments

Dalam kesempatan kali ini saya hanya mahu mengemukakan 2 set terjemahan untuk kita sama-sama buat perbandingan. Dari kedua-dua terjemahan ini, mari kita sama-sama kongsikan perkara-perkara yang mungkin dapat kita pelajari. Transliterasi juga disediakan. Manalah tahu ia dapat membantu.

Terjemahan pertama disalin dari http://www.iiu.edu.my dan terjemahan kedua pula adalah terjemahan semula oleh saya berasaskan terjemahan Aidid Safar.

Terjemahan iiu.edu.my:

22:23 Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.

22:24 Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.

22:25 Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) – sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.

22:26 Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).

22:27 “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

22:28 “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

22:29 “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu”.

22:30 Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta, –

22:31 (Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).

Terjemahan semula oleh saya berasaskan terjemahan Aidid Safar:

22:23 Sesungguhnya Tuhan akan menjadikan mereka yang percaya dan melakukan amalan-amalan baik memasuki taman-taman yang di bawahnya sungai-sungai mengalir, mereka akan diperhiasi di dalamnya dengan rantai-rantai emas dan mutiara dan pakaian mereka di dalam sana adalah sutera.

22:24 Dan mereka adalah yang mendapat petunjuk kepada perkataan-perkataan yang baik dan mereka mendapat petunjuk ke dalam jalan Tuhan Yang Terpuji.

22:25 Sesungguhnya mereka yang tidak percaya dan mereka menghalang orang lain dari batasan ketetapan-ketetapan yang telah direstui yang telah didedikasikan kepada seluruh manusia supaya dipatuhi bersama-sama – yang sememangnya jelas. Dan sesiapa yang menokok-tambah di dalamnya kejahatan Kami akan pastikan mereka merasai balasannya.

22:26 Dan apabila kami memutuskan kepada Ibrahim tempatnya di dalam sistem, “Kamu tidak boleh menyekutukan Aku dengan apa pun, pastikan sistemKu sentiasa dibersihkan untuk mereka yang mahu mendekatkan diri dan yang merendah diri dan bersetuju.

22:27 Dan maklumkan kepada manusia tentang penyelidikan yang telah dikurniakan kepada kamu sebagai seorang individu dan ke atas setiap individu yang bertanggungjawab yang telah dikurniakan dari sumber yang sangat luas;

22:28 Supaya mereka menyaksikan manfaat-manfaat untuk mereka dan supaya mereka mengingati nama Tuhan pada setiap hari di atas apa saja rezeki untuk mereka dari haiwan ternakan.

22:29 Oleh itu makanlah darinya dan beri makan orang-orang yang memerlukan dan miskin. Dan kemudian mereka patut membersihkan kotoran dan menunaikan janji-janji mereka supaya mereka mendekatkan diri dengan sistem yang asal.

22:30 Dan sesiapa yang tunduk kepada peringatan Tuhan maka ia lebih baik untuknya di sisi Tuhan. Dan dibenarkan kepada kamu haiwan ternakan kecuali yang telah dibacakan kepada kamu dan hindarilah kekotoran menyembah berhala dan jauhkan diri dari percakapan bohong.

22:31 Berpendirian benarlah terhadap Tuhan dan jangan sekutukan apa pun dengan Dia dan sesiapa yang menyekutukan Tuhan ia adalah seperti dia terjatuh dari tempat yang tinggi dan burung-burung menyambarnya pergi atau angin membawanya ke tempat yang amat jauh.

Transliterasi:

22:23 Inna Allaha yudkhilu allatheena amanoo waAAamiloo alssalihati jannatin tajree min tahtiha al-anharu yuhallawna feeha min asawira min thahabin walu/lu-an walibasuhum feeha hareerun

22:24 Wahudoo ila alttayyibi mina alqawli wahudoo ila sirati alhameedi

22:25 Inna allatheena kafaroo wayasuddoona AAan sabeeli Allahi waalmasjidi alharami allathee jaAAalnahu lilnnasi sawaan alAAakifu feehi waalbadi waman yurid feehi bi-ilhadin bithulmin nuthiqhu min AAathabin aleemin

22:26 Wa-ith bawwa/na li-ibraheema makana albayti an la tushrik bee shay-an watahhir baytiya liltta-ifeena waalqa-imeena waalrrukkaAAi alssujoodi

22:27 Waaththin fee alnnasi bialhajji ya/tooka rijalan waAAala kulli damirin ya/teena min kulli fajjin AAameeqin

22:28 Liyashhadoo manafiAAa lahum wayathkuroo isma Allahi fee ayyamin maAAloomatin AAala ma razaqahum min baheemati al-anAAami fakuloo minha waatAAimoo alba-isa alfaqeera

22:29 Thumma lyaqdoo tafathahum walyoofoo nuthoorahum walyattawwafoo bialbayti alAAateeqi

22:30 Thalika waman yuAAaththim hurumati Allahi fahuwa khayrun lahu AAinda rabbihi waohillat lakumu al-anAAamu illa ma yutla AAalaykum faijtaniboo alrrijsa mina al-awthani waijtaniboo qawla alzzoori

22:31 Hunafaa lillahi ghayra mushrikeena bihi waman yushrik biAllahi fakaannama kharra mina alssama-i fatakhtafuhu alttayru aw tahwee bihi alrreehu fee makanin saheeqin

Written by tolokminda

April 7, 2010 at 1:06 am

Peranan Yahudi dan Arab munafik dalam membentuk agama Islam yang kita kenali hari ini

with 44 comments

Walaupun umat Islam mengaku meletakkan Al-Quran sebagai sumber rujukan yang paling diutamakan, hakikatnya formasi agama Islam yang mereka anuti sekarang sebenarnya lebih bersumberkan kepada hadis dan sunnah di samping pendapat serta ajaran para imam mereka. Tanpa hadis dan sunnah yang disampaikan dan ditekankan oleh para imam mereka itu, agama Islam dalam bentuk yang kita kenali hari ini tidak mungkin wujud.

Buktinya, semua amalan ritual dan hukum-hakam fekah mahupun syariah yang menjadi pegangan umat Islam – tanpa mengira mazhab mereka – sebenarnya tidak ada di dalam Al-Quran. Kita hanya boleh merujuknya kepada kitab-kitab hadis dan sunnah serta kitab-kitab karangan para imam dan ulama favorite mereka.

Secara umumnya hadis dan sunnah dirujuk kepada himpunan cerita-cerita riwayat Nabi semasa dia masih hidup – kononnya diriwayatkan secara verbatim oleh para periwayat yang telah ditapis dan dijamin kewibawaan dan kejujuran mereka – mereka tidak mungkin menyeleweng. Bagaimanapun dalam sejarah Islam yang sampai kepada kita, pengumpulan hadis dan sunnah ini tidak dilakukan sehinggalah 200 – 300 selepas Nabi wafat.

Oleh itu sebagai seorang yang benar-benar meyakini Al-Quran, saya ingin mengajak para pembaca budiman berfikir dan merenung ayat berikut sedalam-dalamnya. Saya berpendapat ia memberikan kita satu clue yang agak jelas tentang kedudukan himpunan kisah riwayat Nabi serta latarbelakang penyelewengan maksud perkataan-perkataan penting di dalam Al-Quran.

5:41  Wahai Rasul, jangan bersedih dengan mereka yang semakin teruk tidak percaya dari kalangan mereka yang berkata; “Kami percaya”, dengan mulut mereka sedangkan hati mereka tidak percaya. Dan dari kalangan mereka orang-orang Yahudi, ada di antara mereka yang mendengar pembohongan – mereka mendengar dari orang-orang yang tidak pernah menemui kamu, mereka menyelewengkan perkataan-perkatan dari konteksnya dan mereka berkata: Jika kamu diberikan ini, maka ikutlah tetapi jika kamu diberikan selainnya, maka berhati-hatilah. Dan sesiapa sahaja yang Tuhan ingin uji, maka kamu tidak mampu berbuat apa-apa untuk dia yang menentang Tuhan. Mereka inilah yang hati mereka Tuhan tidak ingin bersihkan; di dunia ini mereka akan dihina dan di akhirat kelak mereka akan mendapat balasan yang berat.

Melalui ayat di atas kita mendapat satu gambaran bagaimana pada ketika Nabi masih hidup dan menyampaikan Al-Quran pun beliau telah berhadapan dengan ramai dari kalangan kaumnya yang bersifat hipokrit (munafik). Keadaan itu menyebabkan Nabi berasa kecewa. Mereka mengaku percaya tetapi hakikatnya tidak. Pengakuan mereka hanya berada di mulut tetapi hati mereka sebenarnya tidak percaya.

Di kalangan orang-orang Yahudi pula, Tuhan kata mereka gemar mendengar cerita-cerita bohong tentang Nabi padahal mereka yang bercerita itu sebenarnya tidak pernah bertemu Nabi pun.  Selain itu mereka turut melakukan penyelewengan terhadap maksud perkataan-perkataan dan mendoktrinasi orang lain kepada pembohongan dan penyelewengan mereka dengan berkata, “jika kamu diberikan ini, maka ikutlah tetapi jika kamu diberikan selainnya, maka berhati-hatilah”.

Oleh itu, antara kesimpulan yang dapat saya gariskan dari penelitian terhadap 5:41 adalah;

  • Orang-orang Arab kaum Nabi yang kebanyakannya munafik tidak peduli tentang Nabi ataupun Al-Quran. Mereka hanya mahu mengekalkan kepercayaan agama tradisi mereka tetapi buat-buat percaya kepada apa yang disampaikan apabila berada di depan Nabi.
  • Orang Yahudi adalah pihak yang mula-mula menyebarkan riwayat-riwayat palsu mengenai Nabi sejak beliau masih lagi hidup dan menyampaikan Al-Quran.
  • Orang Yahudi juga mempunyai tabiat menyelewengkan maksud perkataan-perkataan di luar dari konteks mungkin untuk disesuaikan dengan cerita-cerita bohong mereka.
  • Umat Islam yang mengambil mudah dan cenderung menurut membuta tuli terperangkap dalam sebuah agama yang theologinya berasaskan kisah-kisah riwayat palsu serta perkataan-perkataan yang diselewengkan maksudnya oleh Yahudi.
  • Umat Islam yang mengambil mudah dan cenderung menurut membuta tuli terperangkap dalam sebuah agama yang amalan ritualnya berlegar di sekitar kepercayaan orang Arab yang munafik.
  • Umat Islam yang rata-ratanya celaru, ditindas dan dihina tidak sedar bahawa nasib yang menimpa mereka sebenarnya adalah akibat kejahilan dan kesombongan mereka sendiri.
  • Elakkan menjadi seperti orang Yahudi yang percaya kepada golongan yang membawa cerita tentang Nabi sedangkan mereka sendiri tidak pernah menemuinya.

Written by tolokminda

April 6, 2010 at 3:17 am